fb fb fb fb fb

Pengabaian warga emas ancam kesejahteraan negara

Warga emas penghuni Rumah Jubeli Perak King George V, Pudu meraikan sambutan Tahun Baharu Cina 2022/Foto hiasan Bernama

SAUDARA PENGARANG

Dasar Kebajikan Masyarakat Negara yang mula digubal pada tahun 1990 meletakkan warga emas sebagai salah satu kumpulan sasaran yang diberi tumpuan penting ekoran daripada peningkatan masalah sosial melibatkan kumpulan tersebut termasuklah penganiayaan dan pengabaian terhadap orang tua. Masalah sosial seperti ini pastinya mengganggu kesejahteraan negara sekali gus meninggalkan impak negatif.

Dalam matlamat pembangunan mampan ketiga, kerajaan menggariskan berkenaan kesihatan baik dan kesejahteraan bagi memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan dalam semua lapisan umur. Islam juga menyatakan bahawa masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat sebagai ‘fasad fi al-ardh wa yasfiku al-dima’ iaitu kerosakan dan pertumpahan darah di muka bumi. Lantaran itu, Dasar Kebajikan Masyarakat Negara ini digubal bagi mewujudkan suatu keadilan sosial dalam masyarakat di Malaysia termasuklah dalam kalangan warga emas.

Warga emas sering diisitilahkan sebagai warga tua atau veteran yang sudah mencapai usia tua. Di Malaysia, penggunaan istilah warga emas merujuk kepada individu yang sudah lama hidup, sudah berumur atau meningkat usia. Dari aspek kebajikan warga emas, kepesatan teknologi dan kemajuan intelek tampaknya masih gagal mencerminkan jati diri dan kemahiran insaniah yang luhur terhadap golongan ini. Hal ini dibuktikan dengan peningkatan isu jenayah dan moral dalam kalangan masyarakat termasuklah penderaan dan pengabaian warga emas.

Kajian terbitan Lancet Global Health mendapati anggaran 16% warga emas melibatkan 28 buah negara telah mengalami penderaan sama ada dari segi fizikal, seksual, psikologi, kewangan dan selainnya. Penemuan daripada kajian itu memberi impak membimbangkan berikutan setiap kes penderaan yang berlaku kepada warga emas berupaya memberi kesan besar kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan negara.

Di Malaysia, laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan peningkatan sebanyak 20% kes penderaan dan pengabaian ibu bapa oleh ahli keluarga sendiri. Kajian menunjukkan 1 daripada 100 orang warga emas di Malaysia pernah ditipu  dalam soal kewangan.

Penipuan ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri atau melibatkan sindiket. Golongan ini sering menjadi sasaran manusia yang tidak bertanggungjawab berikutan mereka dianggap rentan dan tidak lagi berdaya untuk melawan. Bahkan, dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat membuatkan mereka lebih banyak ketinggalan dan kurang pengetahuan tentang sindiket penipuan yang berleluasa.

Lantaran itu, dalam usaha mencari solusi ke atas kes penderaan dan pengabaian warga emas, institusi keluarga dilihat sebagai unit terpenting dan paling hampir dalam memberi perlindungan kepada warga emas. Kesedaran kepada komuniti dan unit keluarga juga penting apabila didapati wujud lambakan kes melibatkan anak kandung mengabai dan menganiaya ibu bapa sendiri.

Satu laporan kes melibatkan seorang warga emas berusia 68 tahun dipaksa oleh anaknya untuk menandatangani dokumen pindah milik rumah di samping si anak bertindak menghabiskan wang simpanan ibunya atas urusan peribadi menjadi bukti untuk meningkatkan langkah kesedaran bermula dari unit keluarga.

Warga emas menurut undang-undang di Malaysia

Sehingga artikel ini ditulis, masih belum wujud apa-apa pindaan peruntukan undang-undang khusus terkait warga emas. Turut dilaporkan bahawa pada 2019, satu rang ndang-undang warga emas dicadang untuk dibentangkan di parlimen pada awal tahun 2021. Pun begitu, usaha awal Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan bahawa satu rang undang-undang warga emas akan dicadangkan bagi dibentangkan di Parlimen nampaknya belum berjaya dilaksanakan.

Dalam aspek hak warga emas, masih belum ada undang-undang khusus yang dipinda bagi maksud ini sebagaimana Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611). Peruntukan undang-undang yang ada bersifat umum ke atas semua lapisan masyarakat tanpa memberi perlindungan khas ke atas warga emas.

Sebagai contoh, perkara 5 sehingga 13 Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang aspek kebebasan diri, kesamarataan undang-undang dan sebagainya secara umum kepada semua lapisan masyarakat termasuk warga emas. Perlembagaan tidak menyebut secara khusus kepada golongan warga emas semata-mata.

Penderaan dan pengabaian warga emas

Penderaan dan pengabaian ini boleh didefinisikan sebagai keganasan yang berlaku kepada warga emas. Keganasan melibatkan penganiayaan yang dilakukan ke atas seseorang sama ada dengan perlakuan serangan, serang sentuh, gangguan, kekejaman fizikal dan mental atau apa-apa bentuk lain penganiayaan.

Misalnya, penderaan dan pengabaian secara mental yang melibatkan herdikan, makian, warga emas tidak memberikan perhatian kepada mereka, tidak meraikan dan tidak memberikan sokongan kepada perkara yang mereka ingin lakukan dan sebagainya. Bagaimanapun, kes pengabaian warga emas menjadi satu isu dari sudut yang lain kerana ia sukar ditentukan sama ada ia dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja, ia boleh dilakukan oleh anak-anak atau penjaga dan sebagainya.

Penderaan secara fizikal adalah satu tindakan yang agresif terhadap tubuh badan termasuk perbuatan menampar, menolak, menendang, memukul dengan objek dan sebagainya. Perlakuan secara fizikal ini apabila dilakukan kepada tubuh seorang yang tua pasti akan meninggalkan kesan yang lebih teruk berbanding tubuh badan seorang yang muda.

Contohnya, satu kejadian yang berlaku di Kedah, seorang anak bertindak memukul dan menendang bapa tirinya kerana enggan memberikan wang untuk membeli dadah. Mangsa mengalami bengkak di bahagian kiri badan akibat daripada tingkah laku agresif pelaku tersebut. Contoh lain tindakan seorang wanita menengking dan memukul ibu kandungnya sehingga mendatangkan kecederaan. Kejadian ini berlaku akibat dari satu perbalahan yang berpunca akibat air di tangki bilik air di rumahnya habis yang menyebabkan pelaku tidak boleh mandi.

Sebaliknya, pengabaian secara fizikal adalah suatu keadaan apabila kehidupan warga emas itu tidak diendahkan dari sudut keperluannya, kesihatan dan sebagainya. Bahkan sesetengah ahli keluarga jarang menghubungi atau melawat ibu bapa mereka yang uzur kerana sibuk bekerja. Fitrah ibu bapa tidak mahu menjadi beban kepada anak- anak mereka yang bekerja atau yang telah berumahtangga dan mempunyai pelbagai komitmen.

Oleh sebab itu, golongan warga emas yang tidak dipedulikan hak atau keperluan hidup oleh ahli keluarga atau masyarakat sekeliling ini memilih untuk hidup sendiri dengan taraf hidup yang sangat daif bahkan ada yang menjadi gelandangan dan mengemis di jalanan.

Selain itu, golongan warga emas terutamanya wanita juga tidak terlepas daripada penderaan seksual yang berlaku ke atas mereka. Satu kejadian yang berlaku di Johor Bahru, seorang lelaki telah ditahan polis kerana disyaki menceroboh pusat kebajikan orang tua dan merogol seorang wanita warga emas yang sedang tidur. Ternyata jenayah rogol bukan sahaja berlaku kepada wanita muda, malah warga emas turut menjadi mangsa untuk melampiaskan nafsu seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan.

Faktor pendorong penderaan dan pengabaian warga emas

Apabila seseorang individu mencapai usia warga emas, dia akan lebih bergantung kepada ahli keluarga yang lain atas faktor kesihatan dan sebagainya. Oleh sebab itu, dapat dilihat kebanyakan pelaku kes penderaan dan pengabaian warga emas ini adalah dalam kalangan anak, menantu atau saudara yang lain.

Faktor pengabaian warga emas yang berlaku pada zaman kini adalah disebabkan oleh kehidupan anak-anak yang memiliki komitmen tinggi untuk keluarga sendiri. Ada yang terpaksa mendahulukan komitmen tugasan berbanding kebajikan ibu bapa. Malahan, anak-anak yang bekerjaya ini sudah pastinya akan sibuk dengan kehidupan harian mereka sekaligus akan mengurangkan komunikasi antara anak dan ibu bapa.

Jurang komunikasi antara ibu bapa dan anak ini juga boleh menjadi faktor penderaan dan pengabaian warga emas ini. Sebagai contoh, kasih sayang atau ikatan kekeluargaan yang erat dalam ahli keluarga tidak dipupuk sejak kecil menyebabkan hubungan ibu bapa dan anak kurang erat. Oleh sebab itu, apabila ibu bapa sudah menjangkau usia tua, anak-anak berasa kekok untuk menjaga ibu bapa. Hal ini seterusnya akan membawa kepada pengabaian ibu bapa.

Ibu bapa adalah idola kepada anak-anak semasa kecil. Setiap perlakuan akan dicontohi oleh anak-anak sama ada baik atau buruk. Sekiranya ibu bapa adalah seorang yang turut mengabaikan atau mendera datuk dan nenek, pola ini cenderung akan berulang kepada diri mereka sendiri. Perkara ini juga merupakan salah satu faktor yang membawa kepada isu penderaan dan pengabaian ibu bapa di masa hadapan.

Perlindungan warga emas

Aspek perundangan amat penting bagi memastikan penguatkuasaan dalam membanteras kes penderaan dan pengabaian ini dapat dilakukan dengan sistematik. Namun begitu, sejauh manakah perundangan sedia ada dapat memastikan perlindungan warga emas di Malaysia dijamin?

Oleh itu, penelitian perundangan ini dilaksanakan untuk mengkaji perlindungan warga emas di Malaysia yang sedia ada dan seterusnya menganalisis keberkesanannya dalam melindungi hak-hak warga emas yang menjadi mangsa penderaan dan pengabaian ini.

Setiap undang-undang yang digubal adalah untuk kesejahteraan dan keharmonian kehidupan rakyatnya termasuk undang-undang berkaitan dengan perlindungan kepada warga emas ini. Undang-undang perlindungan warga emas dibuat di Malaysia juga antaranya adalah untuk menyahut prinsip United Nation Principles for Older Persons (UNPOP) 1991. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mewujudkan prinsip ini yang juga dikenali sebagai Resolusi 46/91.

Antara prinsip yang ditekankan adalah tentang kebebasan, penyertaan, penjagaan, kepuasan diri dan maruah. Secara asasnya, prinsip- prinsip ini turut menjadi rujukan kepada pembentukan Dasar Warga Emas Negara.

Cadangan penambahbaikan undang-undang warga emas

Keperluan penggubalan satu undang-undang khusus untuk warga emas adalah diperlukan di Malaysia. Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan akta khusus bagi melindungi kebajikan warga emas amat tepat memandangkan jumlah mereka yang semakin bertambah saban tahun.

Hal ini adalah ekoran kes penderaan dan pengabaian warga emas yang semakin meningkat dan masih terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan. Selain untuk menjamin kebajikan warga emas di negara kita, langkah ini juga adalah sesuai sebagai satu persediaan Malaysia menjadi negara tua menjelang tahun 2035.

Undang-undang sedia ada di Malaysia sememangnya memberikan perlindungan kepada warga emas namun ia hanyalah secara umum dan tidak menyentuh pelbagai aspek kehidupan warga emas seperti emosi dan kewangan. Undang-undang tersebut boleh dikatakan masih berbentuk tidak komprehensif dan holistik untuk menjamin kemaslahatan warga emas atas sebab terdapat lakuna yang masih boleh ditambah baik dari masa ke masa.

Malaysia boleh mengambil pendekatan untuk menggubal Akta Warga Emas seperti mana Akta Kanak-Kanak 2001 yang khusus kepada kanak-kanak dibuat. Hal ini adalah penting untuk mengawal kes penderaan dan pengabaian warga emas pada masa hadapan.

Satu cadangan agar Malaysia menetapkan had umur warga emas khusus dalam undang-undang turut boleh dilakukan oleh kerana tiada penetapan dan kesepakatan tentang berapa had umur warga emas itu sama ada di Malaysia atau luar negara.

Sebagai contoh, negara maju meletakkan had umur warga emas ialah 65 tahun dan ke atas memandangkan kehidupan warga emas mereka pada usia tersebut masih sihat dan bertenaga. Di samping itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat mengkategorikan warga emas kepada tua muda, tua-tua dan paling tua-tua. Kategori ini dibuat bagi memudahkan pendekatan aktiviti sesuai dengan lapisan usia berbeza.

Manakala Dasar Warga Emas Negara pula meletakkan umur 60 tahun dan ke atas sebagai kategori warga emas. Oleh itu, langkah untuk meletakkan penetapan kepada had usia warga emas ini mungkin boleh dibuat sebagai permulaan kepada hari yang cerah dan bagi memudahkan pelbagai urusan berkaitan warga emas di Malaysia pada masa hadapan.

Kerajaan juga boleh mengambil pendekatan untuk menyediakan pelbagai insentif kewangan bagi majikan yang menggaji atau mengekalkan pekerja berusia dan memberi latihan kepada mereka. Langkah ini merupakan satu perkara yang boleh dilaksanakan memandangkan warga emas pada masa kini masih ramai yang sihat dan boleh menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada pembangunan negara.

Hal ini juga mungkin boleh membantu dalam perkembangan program keselamatan sosial di negara kita kerana kajian menunjukkan pendapatan persaraan bagi kebanyakan warga emas adalah tidak mencukupi. Ditambah pula dengan keadaan Malaysia yang sedang menghadapi inflasi, sudah pasti program keselamatan sosial sebegini dilihat lebih komprehensif untuk diteruskan dan dibangunkan.

Warga emas berhadapan dengan fasa kehidupan paling mencabar kerana mereka mengalami perubahan dari segi fizikal, emosi dan mental. Oleh kerana itu, Islam melarang melakukan perbuatan kasar dengan golongan warga emas dan mereka hendaklah dihormati memandangkan perasaan mereka terusik pada peringkat ini.

Islam memuliakan setiap umatnya termasuk warga emas. Oleh itu, Islam menyediakan mekanisme perlindungan kepada warga emas sebagai salah satu cara untuk membantu golongan warga emas meneruskan kehidupan harian di hujung usia mereka. Hal ini kerana umum mengetahui bahawa seseorang yang telah mencapai usia tua, sudah tidak mampu bekerja kerana mempunyai kekurangan dari sudut fizikal dan akal fikiran.

Sekiranya mereka tidak dibantu dari segi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal ini sudah pasti ia akan menjejaskan taraf hidup dan kesihatan mereka. Oleh itu, penyediaan mekanisme ini adalah untuk memastikan kemaslahatan setiap umatnya terjaga dan kemudaratan dapat dihindarkan.

PENULIS DR. SITI AISYAH SAMUDIN merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI