fb fb fb fb fb

Bina ruang kerja hijau, tip mudah & murah kurangkan stress

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam dunia akademik yang penuh dengan jadual kuliah padat, komitmen penyelidikan, KPI penulisan dan penerbitan, tidak kurang juga tugas-tugas pentadbiran membawa kepada tekanan kerja yang sering menjadi cabaran utama.

Tekanan yang berpanjangan boleh menjejaskan produktiviti dan kesejahteraan mental seseorang. Salah satu cara mudah dan murah untuk mengurangkan tekanan ini adalah dengan mewujudkan ruang kerja lebih hijau atau dikenali sebagai Green Office.

Green Office merujuk kepada konsep ruang kerja yang mesra alam, mengutamakan elemen semula jadi seperti tumbuhan hijau, pencahayaan semula jadi, dan penggunaan bahan lestari.

Kajian menunjukkan bahawa persekitaran hijau bukan sahaja membantu meningkatkan fokus dan kreativiti, tetapi juga berkesan dalam mengurangkan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal.

Pentingkah Ruang Kerja Hijau dalam Kalangan Ahli Akademik?

Ahli akademik sering terdedah kepada beban kerja tinggi, termasuk tugas mengajar, menyelia pelajar, penulisan dan penerbitan jurnal dan tidak kurang ada yang perlu memenuhi tuntutan tugas-tugas pentadbiran.

Dengan tekanan yang tinggi ini, persekitaran kerja yang selesa dan kondusif sangat penting untuk memastikan kesihatan mental dan fizikal mereka terpelihara.

Kajian menunjukkan bahawa kehadiran unsur hijau di tempat kerja boleh membantu meningkatkan daya tumpuan, mengurangkan stres, dan memberi ketenangan.

Persekitaran hijau juga dapat mengurangkan keletihan mental serta membantu ahli akademik menjadi lebih kreatif dan produktif dalam tugasan harian mereka. Oleh itu, membina ruang kerja yang lebih hijau adalah satu langkah bijak bagi meningkatkan kesejahteraan dan kepuasan kerja.

10 Elemen Green Office Mudah & Murah!

Mewujudkan Green Office tidak semestinya memerlukan kos tinggi atau perubahan secara drastik. Tidak perlulah sehingga perlu mengupah pereka dalaman untuk mengubah ruang kerja di pejabat bagi mendapatkan ruang kerja idaman.

Percaya atau tidak, ada banyak alternatif yang bukan sahaja mudah, tetapi murah bagi meningkatkan produktiviti kerja melalui konsep Green Office. Beberapa langkah mudah boleh dilakukan untuk mencipta persekitaran kerja yang lebih hijau, antaranya:

  1. Tumbuhan hijau

Meletakkan tumbuhan seperti pokok lidah mertua, spider plant, dan money plant di ruang kerja dapat membantu membersihkan udara serta memberi suasana yang lebih segar dan nyaman. Tumbuhan ini juga mudah dijaga dan tidak memerlukan penjagaan yang rumit. Malah ianya mampu hidup subur di dalam suasana dalaman atau indoor!

  1. Pencahayaan semula jadi

Memanfaatkan cahaya matahari dengan meletakkan meja berdekatan tingkap dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada lampu serta memberi kesan positif kepada tenaga dan tumpuan kerja. Jika pencahayaan semula menjadi terhad, penggunaan lampu LED yang menyerupai cahaya matahari boleh menjadi alternatif yang baik.

  1. Aksesori hijau

Menggunakan bahan kitar semula, botol air guna semula, dan kertas mesra alam merupakan langkah kecil tetapi berkesan dalam menjadikan ruang kerja lebih lestari. Sedikit daya kreatif mungkin diperlukan bagi mengolah bahan-bahan terbuang, namun percayalah ianya adalah satu terapi melalui seni yang patut dicuba!

  1. Pengudaraan yang baik

Memastikan ruang kerja mempunyai aliran udara yang mencukupi dengan membuka tingkap atau menggunakan kipas kecil dapat membantu memberi keselesaan dan mengurangkan rasa letih. Cara ini juga dapat mengurangkan penggunaan penghawa dingin yang mungkin lebih memberi kesan kepada rumah hijau. Namun perlulah disesuaikan dengan keadaan cuaca terkini juga sekiranya perlu.

  1. Susun atur ergonomik

Susun atur perabot juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan ketika bekerja. Menggunakan kerusi dan meja yang sesuai dengan postur badan dapat mengurangkan ketegangan otot serta meningkatkan keselesaan. Jika membeli perabot baharu tidak praktikal, penggunaan alas duduk atau penyokong belakang boleh menjadi penyelesaian mudah.

  1. Pewangi alami:

Minyak pati seperti lavender, peppermint atau eucalyptus boleh digunakan untuk memberi bau menyegarkan dan meningkatkan ketenangan. Sebagai alternatif lebih mudah, daun pandan atau kulit limau boleh diletakkan di sudut meja sebagai pewangi semula jadi. Pewangi semula jadi ini lebih alami dan mudah didapati, malah ada yang boleh diperolehi dari kebun di rumah!

  1. Pilih warna-warna bumi

Warna di ruang kerja turut memberi kesan kepada suasana dan tumpuan. Warna lembut seperti hijau, biru, atau coklat dalam dekorasi pejabat dapat mencipta suasana yang lebih tenang dan selesa. Ini boleh dilakukan dengan menukar warna alas meja, menambah lukisan bertema alam, atau menggunakan aksesori berwarna semula jadi.

  1. Bunyi Latar Menenangkan

Bunyi seperti aliran air, kicauan burung, atau muzik instrumental boleh dimainkan secara perlahan untuk mencipta suasana yang lebih santai. Terdapat banyak aplikasi percuma dan peranti kecil yang boleh digunakan untuk memainkan bunyi latar secara berterusan.

  1. Sudut Rehat Mini

Jika ruang mengizinkan, mewujudkan sudut rehat mini juga boleh menjadi pilihan yang baik. Sudut ini boleh dihiasi dengan bantal atau kerusi santai untuk berehat seketika bagi mengurangkan keletihan mental. Ia juga boleh menjadi tempat membaca atau menikmati teh/kopi untuk memberi ketenangan sebelum menyambung kerja.

  1. Dekorasi bahan alami

Cuba gunakan bahan seperti kaca, kayu, atau logam sebagai alternatif kepada plastik dalam dekorasi ruang kerja. Misalnya, gunakan balang kaca sebagai bekas penyimpanan alat tulis atau rak kayu sebagai tempat meletakkan buku. Dengan perubahan kecil ini, bukan sahaja ruang kerja kelihatan lebih menarik, tetapi ia juga menunjukkan komitmen terhadap gaya hidup yang lebih lestari.

Manfaat Green Office: Kerja Tenang, Minda Cemerlang

Manfaat daripada mewujudkan ruang kerja hijau bukan sahaja dapat dirasai secara fizikal tetapi juga secara psikologi. Kajian oleh Journal of Environmental Psychology pada tahun 2014 menunjukkan bahawa kehadiran tumbuhan dalam ruang kerja boleh mengurangkan tekanan sehingga 37% dan meningkatkan produktiviti sebanyak 15%.

Warna hijau daripada tumbuhan serta pencahayaan semula jadi membantu menenangkan fikiran, mengurangkan stres, dan memberi rasa lebih selesa di tempat kerja.

Selain itu, persekitaran hijau juga berperanan dalam meningkatkan daya tumpuan dan kreativiti. Menurut kajian oleh Taylor & Kuo pada tahun 2009, mereka yang bekerja dalam persekitaran dengan elemen semula jadi menunjukkan peningkatan daya tumpuan sebanyak 20% berbanding mereka yang bekerja dalam ruang tertutup tanpa elemen hijau.

Ruang kerja yang lebih selesa dan kurang sesak membantu akademik lebih fokus dalam tugasan mereka, terutamanya ketika menulis atau menjalankan penyelidikan.

Green Office juga dapat memupuk budaya kerja yang lebih sihat dan produktif. Kajian akademik mendapati bahawa pejabat yang dihiasi dengan tumbuhan hijau bukan sahaja meningkatkan kepuasan kerja tetapi juga menggalakkan interaksi sosial yang lebih positif antara pekerja. Dengan suasana kerja yang lebih baik, ahli akademik akan lebih bermotivasi dan bersemangat untuk bekerja, sekali gus meningkatkan prestasi mereka.

Kesimpulan

Green Office bukan sekadar trend tetapi satu keperluan bagi memastikan kesejahteraan ahli akademik terpelihara. Dengan kos yang rendah dan perubahan yang kecil, ahli akademik boleh menikmati persekitaran kerja yang lebih sihat dan kondusif. Langkah seperti menambah tumbuhan hijau, memanfaatkan pencahayaan semula jadi, serta menggunakan bahan mesra alam boleh membawa kesan positif yang besar.

Mewujudkan ruang kerja hijau bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri tetapi juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk para akademik memulakan perubahan kecil ini demi kesejahteraan jangka panjang. Jadi, kenapa tidak mulakan hari ini?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

FADILAH MAT NOR
Fadilah Mat Nor
Pensyarah Jabatan Ekonomi & Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor

SITI NURASHIDAH ROSLAN
Siti Nurashidah Roslan
Pensyarah Jabatan Pengurusan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI