SAUDARA PENGARANG
Wanita memainkan peranan penting dalam membentuk keharmonian keluarga dan kestabilan ekonomi. Dalam masyarakat kini, wanita bukan sahaja bertanggungjawab sebagai penjaga rumah tangga tetapi juga sebagai tadbir urus kewangan keluarga. Keharmonian dalam keluarga banyak dipengaruhi oleh peranan wanita sebagai isteri, ibu dan pengurus rumah tangga. Ia memberi impak besar kepada keutuhan ekonomi. Apabila wanita berperanan secara positif dan harmoni dalam keluarga, ia bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan keluarga tetapi juga kepada pembangunan ekonomi masyarakat dan negara.
Wanita bahagia dan keluarga harmoni cenderung untuk menjadi lebih produktif dan berdaya saing dalam setiap pekerjaan dilakukan, sama ada dalam bidang pekerjaan formal dan juga tidak formal seperti keusahawanan secara kecil-kecilan. Penulisan ini bertujuan untuk membincangkan bagaimana keharmonian wanita dalam keluarga menyumbang kepada keutuhan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada peranan wanita sebagai penyumbang pendapatan, pengurus kewangan serta pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi.
Peranan Wanita sebagai Penyumbang Pendapatan
Dalam konteks moden, semakin ramai wanita bekerja dan menyumbang kepada pendapatan isi rumah. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2023), 56.3% daripada tenaga kerja Malaysia adalah wanita. Wanita kini menjadi penyumbang ekonomi signifikan dalam negara. Dalam sektor formal, ramai wanita terlibat dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, perkhidmatan dan industri. Manakala, di sektor tidak formal, mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti pembuatan makanan di rumah, kraf tangan dan jualan dalam talian. Ini menunjukkan bahawa wanita yang menjalankan perniagaan mikro bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi keluarga tetapi juga membina keyakinan diri dan kemahiran tadbir urus kewangan. Justeru, kesan melalui pendapatan tambahan daripada wanita, ia membantu mengurangkan beban kewangan, malah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan keluarga. Keluarga yang mempunyai pengurusan kewangan yang baik mampu menghasilkan pendapatan yang berganda, menabung untuk masa depan dan mengatasi krisis ekonomi keluarga.
Wanita sebagai Pengurus Kewangan Keluarga
Wanita secara tradisinya dikenali sebagai pengurus kewangan keluarga walaupun tanpa pengiktirafan. Mereka menguruskan perbelanjaan keluarga dengan memastikan keperluan asas seperti makanan, pendidikan dan perubatan dipenuhi dengan bijak. Wanita yang terlibat secara aktif dalam perancangan kewangan keluarga lebih berdaya tahan dalam menghadapi tekanan ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup. Berbekalkan pengetahuan dan keyakinan, wanita seiring langkah dalam pengurusan keluarga tanpa mengabaikan peranan lain. Mereka mengimbangkan peranan sebagai isteri, ibu, dan pekerja dan lebih berjaya dalam kerjaya dan juga perniagaan. Wanita yang berjaya menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga mempunyai prestasi kerja yang lebih baik dan kurang tekanan emosi. Bak kata pepatah tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Itulah yang menggambarkan ketahanan wanita dalam rumah tangga.
Pemangkin Pembangunan Sosial dan Ekonomi
Wanita yang harmoni dalam keluarga bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi keluarga tetapi juga bertindak sebagai pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi dalam masyarakat. Selain memastikan kestabilan kewangan keluarga, dengan tadbir urus kewangan yang berhemah, ia akan memberi kesan yang positif kepada ekonomi masyarakat kerana kuasa beli yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi setempat seterusnya menggalakkan kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang lebih inklusif dan harmoni. Dalam pemangkin pembangunan sosial iaitu, melalui didikan yang baik kepada anak-anak, wanita terus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi yang menyokong kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Cabaran dalam Tadbir Urus Kewangan
- Kekurangan Pendidikan Kewangan
Walaubagaimanapun masih terdapat, terutamanya wanita daripada golongan B40 yang menghadapi kekurangan pendidikan tentang tadbir urus kewangan. Ini menyukarkan mereka untuk mengurus kewangan dengan bijak. Tanpa disedari kekurangan ini akan memberi kesan jangka masa panjang jika ia tidak ditangani dengan serius. Kesedaran tentang perancangan kewangan, simpanan, dan pelaburan juga adalah rendah dalam kalangan wanita berpendapatan rendah disebabkan oleh pelbagai kekangan yang melanda keluarga atau mereka tanpa sedar terperangkap dalam putaran kemiskinan warisan. - Diskriminasi Gender dalam Akses Kewangan
Wanita sering menghadapi halangan dalam mendapatkan akses kepada kemudahan kewangan seperti pinjaman perniagaan, kad kredit, dan pelaburan kerana diskriminasi gender dalam sektor kewangan. - Tekanan Sosial dan Beban Kerja Berganda
Wanita menghadapi tekanan sosial untuk memenuhi tanggungjawab rumah tangga dan pekerjaan yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk memberi tumpuan kepada perancangan kewangan.
Strategi untuk Memperkukuh Peranan Wanita dalam Tadbir Urus Kewangan
Bagi memperkukuh peranan wanita dalam tadbir urus kewangan, strategi komprehensif dan berkesan diperlukan. Strategi ini harus merangkumi pendidikan kewangan berterusan, sokongan dasar kerajaan dan institusi kewangan serta perkongsian tanggungjawab dalam keluarga. Dengan mengamalkan strategi ini, wanita dapat meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan mereka, sekali gus menyumbang kepada keutuhan ekonomi keluarga.
- Pendidikan Kewangan dan Literasi Digital
Salah satu strategi paling penting untuk memperkukuh peranan wanita dalam tadbir urus kewangan adalah melalui pendidikan kewangan yang berterusan. Pendidikan kewangan membantu wanita meningkatkan pengetahuan mereka tentang belanjawan, pelaburan dan pengurusan aset dan liabiliti. Dengan pengetahuan kewangan mencukupi, wanita akan lebih yakin untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dan bertanggungjawab. Pendidikan kewangan membantu wanita memahami cara merancang belanjawan untuk memenuhi keperluan keluarga sambil menabung untuk masa depan. Segala bentuk asas pelaburan termasuk pelaburan dalam saham amanah, emas, hartanah dan instrumen kewangan Islam yang patuh syariah dan pengurusan hutang yang berkesan seperti mengurus pinjaman perumahan, kad kredit, dan pinjaman peribadi. Ia menunjukkan wanita yang mendapat pendidikan kewangan mempunyai kemahiran lebih baik dalam mengurus perbelanjaan dan pelaburan, yang secara langsung menyumbang kepada kestabilan kewangan keluarga. - Penggunaan Platform Digital Kewangan
Dalam era digital, platform digital seperti e-pembelajaran dan aplikasi pengurusan kewangan memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan kewangan yang fleksibel kepada wanita. Platform ini membolehkan wanita belajar mengikut kesesuaian masa dan tempat mereka, terutamanya bagi mereka yang sibuk dengan tanggungjawab rumah tangga dan kerjaya.
Beberapa langkah yang boleh diambil ialah membangunkan kursus dalam talian yang mudah diakses untuk wanita tentang belanjawan, simpanan dan pelaburan. Wanita perlu diperkasakan dengan pengetahuan melibatkan aplikasi digital supaya mereka juga tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan atau kewangan yang menipu dalam era moden ini. Wanita boleh mempelajari kemahiran kewangan secara fleksibel dan berterusan membantu mereka mengurus kewangan keluarga dengan lebih baik. - Sokongan Dasar Kerajaan dan Institusi Kewangan
Kerajaan dan institusi kewangan memainkan peranan penting dalam memperkukuh peranan wanita dalam tadbir urus kewangan melalui sokongan dasar proaktif dan akses kepada sumber kewangan.
• Akses kepada Pinjaman Mikro dan Insentif Cukai.
Wanita terutamanya dalam kalangan B40 sering menghadapi kekangan dalam mendapatkan modal permulaan atau modal untuk pengembangan dalam perniagaan mikro mereka. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil inisiatif bagi golongan sasaran ini dengan memberikan pinjaman mikro tanpa faedah atau insentif cukai kepada usahawan wanita untuk membantu mereka memulakan perniagaan dan menjana pendapatan tambahan.
• Latihan Keusahawanan dan Program Mentor.
Selain akses kewangan, latihan keusahawanan dan program mentor dalam perniagaan sangat penting untuk membantu wanita memperkukuh ekonomi keluarga melalui perniagaan kecil-kecilan. Program mentor melibatkan usahawan wanita berjaya untuk membimbing dan memberi inspirasi kepada wanita lain dalam komuniti mereka. Selain itu, kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) untuk menyediakan latihan vokasional dan teknikal yang membantu wanita meningkatkan kemahiran mereka. Dengan sokongan dasar yang menyokong akses kewangan dan latihan keusahawanan, wanita akan lebih berdaya saing dalam ekonomi moden, sekali gus menyumbang kepada keutuhan ekonomi keluarga. - Perkongsian Tanggungjawab dalam Keluarga
Kesedaran tentang perkongsian tanggungjawab antara suami dan isteri dalam mengurus kewangan dan rumah tangga adalah penting untuk mengurangkan beban kerja berganda yang sering dihadapi oleh wanita. Wanita sering menghadapi tekanan untuk mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab rumah tangga, yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal mereka. Perkongsian tanggungjawab dalam perancangan kewangan, penjagaan anak dan kerja rumah dapat mengurangkan beban emosi dan tekanan wanita. Dalam meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti ekonomi, apabila suami dan isteri bekerjasama dalam mengurus kewangan dan rumah tangga, kualiti hidup keluarga meningkat, sekali gus menyumbang kepada produktiviti ekonomi yang lebih tinggi. - Pendidikan Kesedaran dalam Komuniti
Program kesedaran di masjid dan komuniti boleh dianjurkan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan perkongsian tanggungjawab dalam keluarga. Ini membantu mengubah persepsi yang stereotaip tentang peranan wanita dan menggalakkan perkongsian beban secara adil dan harmoni dalam keluarga.
Kesimpulan
Keharmonian dalam keluarga memberikan impak positif kepada keutuhan ekonomi keluarga dan masyarakat. Wanita harmoni cenderung untuk lebih produktif di tempat kerja, bijak mengurus kewangan dan berdaya saing dalam keusahawanan. Mereka juga memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak dan pembangunan modal insan. Oleh itu, adalah penting untuk memperkukuh sokongan keluarga dan melalui dasar kerajaan yang menyokong keharmonian dan kesejahteraan wanita, termasuk fleksibiliti kerja, latihan kewangan, dan akses kepada peluang keusahawanan. Secara keseluruhannya, keutuhan ekonomi yang kukuh adalah hasil daripada keharmonian wanita dalam keluarga, yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekonomi negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Aza Shahnaz Azman
Pensyarah di Jabatan Ekonomi & Kewangan
Universiti Islam Selangor
Dr. NorFadhilah Bahari
Pensyarah di Jabatan Ekonomi & Kewangan
Universiti Islam Selangor