fb fb fb fb fb

Tanam sendiri pucuk paku, sumber sayuran segar dan jimat

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Media tanaman untuk pucuk paku boleh menggunakan campuran tanah, pasir, dan bahan organik seperti kompos atau baja tinja ayam yang telah diproses. Penggunaan campuran tanah, bahan organik, dan cocopeat atau sekam padi juga sesuai bagi mengekalkan kelembapan tanah.

Pastikan tanah mempunyai sistem saliran yang baik supaya air tidak bertakung, bagi mengelakkan akar pokok menjadi rosak.

Kelebihan Menanam Sayuran Sendiri

Kenaikan harga sayur-sayuran dan ulam-ulaman di pasaran sering berlaku disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan daripada pembekal. Oleh itu, masyarakat yang tinggal di bandar boleh mengambil inisiatif menanam sayuran sendiri di rumah.

Penanaman sayur di rumah bukan sahaja menyumbang kepada sumber makanan, malah ia juga:

  • Mengurangkan kebergantungan kepada pasaran dan import.
  • Mengurangkan tekanan kepada rantaian bekalan makanan negara.
  • Menyediakan makanan segar yang lebih sihat dan selamat.
  • Sebagai contoh, penanaman pucuk paku merupakan langkah kecil tetapi berimpak besar dalam menyokong keterjaminan makanan negara.

Pengenalan kepada Pucuk Paku

Pucuk Paku (Diplazium esculentum) atau dikenali sebagai pakis sayur, paku tanjung, atau sayur paku merupakan sayuran kampung hijau yang digemari ramai di Malaysia. Di kawasan kampung, pucuk paku mudah ditemui di belukar, tepi sungai, tepi parit, atau kawasan tanah pamah yang lembap.

Namun, di bandar, ia lebih sukar didapati secara semula jadi dan kebiasaannya hanya boleh dibeli di pasar tani, pasar malam, atau pasar borong. Sebenarnya, pucuk paku boleh ditanam di kawasan rumah, asalkan habitatnya menyerupai keadaan semula jadi seperti:

✅ Keadaan lembap
✅ Persekitaran redup (tidak terdedah kepada cahaya matahari secara langsung)
✅ Tanah yang subur, gembur, dan kaya dengan bahan organik

Kaedah Mendapatkan Benih Pucuk Paku

Benih pucuk paku boleh diperoleh melalui dua kaedah utama:

1. Menggunakan Rumpun Anak Pokok – Kaedah paling mudah dan cepat.

2. Menggunakan Spora (biji benih di bawah daun matang) – Memerlukan masa lebih lama kerana spora perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum disemai.

Cara Menanam Pucuk Paku

🔹 Kaedah Menanam Menggunakan Anak Benih/Rumpun

1. Buat lubang sedalam 10-15 cm.
2. Letakkan anak benih bersama akarnya ke dalam lubang.
3. Timbus kembali dengan tanah dan tekan perlahan-lahan di kelilingnya.
4. Siram dengan air secukupnya.
5. Letakkan di tempat yang redup.

🔹 Kaedah Menyemai Menggunakan Spora

1. Taburkan spora di atas permukaan tanah yang lembap.
2. Tutup dengan lapisan tanah yang nipis.
3. Siram secara perlahan menggunakan penyembur air.
4. Pastikan tanah sentiasa lembap bagi merangsang pertumbuhan.
5. Letakkan di tempat yang redup.

Proses Penuaian

Pucuk paku boleh mula dituai selepas 1-2 bulan bergantung kepada kaedah penanaman dan penjagaan. Kerap menuai pucuk paku akan merangsang pertumbuhan pucuk baharu, menjadikannya lebih subur dan produktif. Dengan mengikuti panduan ini, sesiapa sahaja boleh menanam pucuk paku sendiri di rumah, sekali gus menyumbang kepada kelestarian makanan negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAHANI AMAT HALIMI
Mahani Amat@Halimi
Pegawai Pertanian Kanan
Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC)
Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

 

 

 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN