fb fb fb fb fb

Edar dadah di kawasan felda, warga emas ditahan bersama heroin 2.265kg

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman menunjukkan heroin yang dirampas.

KUANTAN, 10 Januari- Kegiatan pengedaran dadah di kawasan felda dan sekitar Bentong, Pahang tumpas dengan penangkapan lelaki warga emas di tepi jalan Anggerik Utama, Taman Anggerik Height, Bentong, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata lelaki berusia 63 tahun itu ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 2.265 kilogram yang dianggarkan bernilai RM25,000

Beliau berkata suspek ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang pada jam 5 pagi setelah dia membawa satu beg plastik berwarna oren dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan di dalam beg plastik itu menemukan lima bungkusan plastik lutsinar setiap satunya berisi ketulan dan serbuk dadah jenis heroin yang keseluruhannya seberat 2.265 kilogram.

"Hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kini ditahan reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 6 hingga 12 Januari ini ," katanya.

Yahaya berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Ujarnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah jenis heroin ini diperoleh dari Selangor untuk diedarkan di kawasan FELDA dan sekitar Bentong.

Beliau berkata, berdasarkan analisa kadar penggunaan dadah jenis heroin seberat 2.265 kilogram boleh dibekalkan kepada 22,650 penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan sebanyak 0.5 gram.

Justeru, beliau berkata usaha berterusan akan dilaksanakan untuk membasmi masalah penyalahgunaan dadah di Pahang dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999.

ZEHRA BINTI ZAMBRI