KUALA LUMPUR, 27 Disember - Seorang datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya berusia 15 tahun, empat bulan lepas.
Warga emas berusia 70 tahun itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu datuk, dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa ketika itu berumur 15 tahun tujuh bulan bagi tujuan seksual di sebuah kediaman di Brickfields di sini antara 6 pagi sehingga 9 malam, pada pertengahan Ogos tahun ini.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu iaitu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia tidak bekerja serta ditanggung oleh anaknya.
Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan 29 Jan depan untuk sebutan kes. - BERNAMA