fb fb fb fb fb

Pengerusi NGO didakwa guna gelaran 'Datuk Seri' tidak diiktiraf

Tertuduh diiringi polis ketika tiba di mahkamah

IPOH, 27 Disember- Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf, Oktober lalu.

Tertuduh, yang juga seorang duda, Saiful Sharma Abdullah, 52 tahun membuat pengangkuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang tidak berhak untuk menggunakan dan menikmati gelaran Datuk Seri telah dengan sengaja menggunakan dan menikmati gelaran tersebut pada surat permohonan kelulusan untuk menganjurkan majlis ulang tahun kesembilan persatuan itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 31 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tiga tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari 2024 untuk serahan dokumen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE