fb fb fb fb fb

Tiga remaja didakwa culik budak tujuh tahun

Ketiga-tiga tertuduh diiring polis ketika tiba di mahkamah

JOHOR BAHRU, 27 Disember- Tiga remaja lelaki termasuk dua remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas kesalahan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, 12 Disember lalu.

Kesemua tertuduh, Jonathan Yet, 18 tahun dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 15 dan 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R.Salini.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama menculik seorang kanak-kanak lelaki di tepi Jalan Serampang, Johor Bahru, pada kira-kira 5.15 petang, 12 Disember lalu.

Pertuduhan ke atas ketiga-tiga tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamira Mohd. Luthfi Ismail manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah mengenakan jaminan RM2,500 bagi setiap tertuduh manakala dua tertuduh remaja bawah umur perlu dijamin oleh ibu bapa atau penjaga.

Sebutan kes ditetapkan 23 Januari depan.

20 Disember lalu, ketiga-tiga suspek ditahan di Pontian selepas disyaki bersubahat menculik seorang kanak-kanak lelaki di Johor Bahru.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE