fb fb fb fb fb

Wanita dibunuh kejam di ladang kelapa sawit, empat suspek ditahan

FOTO HIASAN

BEAUFORT, 27 Disember- Seorang wanita warga Filipina ditemukan mati dipercayai dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Ulu Bambangan, Membakut, Beaufort, kelmarin.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Ismail Abdullah.

Beliau berkata mangsa dipercayai hilang ketika pergi ke ladang tempatnya bekerja itu sebelum mayat ditemukan suaminya sendiri.

“Mayat mangsa ditemukan di kawasan belukar berhampiran dengan kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan dan siasatan oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terhadap mayat mendapati tapak tangan sebelah kanan mangsa hampir putus dan terdapat kesan kelar di bahagian leher dipercayai akibat tetakan dengan senjata tajam.

Susulan itu, polis menahan reman empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 30-an hingga 40-an untuk membantu siasatan.

Ismail berkata polis sedang giat mengesan suspek lain yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE