KUALA LUMPUR, 26 Januari - Golongan warga emas dalam lingkungan 60 tahun ke atas lebih mudah menjadi sasaran mangsa penipuan pelaburan dalam talian, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Trend itu dilihat membimbangkan apabila JSJK merekodkan nilai kerugian tertinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 5, 389 kes dengan nilai kerugian mencecah RM472 juta.
"Peningkatan mendadak ini menunjukkan ada sindiket yang cuba memancing mereka sehingga terjerumus menjadi mangsa penipuan.
"Modus operandi digunakan sindiket penipuan pelaburan ini untuk mencari mangsa termasuk menggunakan nama individu berpengaruh seperti selebriti dan agamawan untuk mencari mangsa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut beliau berdasarkan rekod pada tahun lalu seramai 744 individu menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian bersamaan dengan 13 peratus.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 213 peratus berbanding tahun 2022 yang hanya mencatatkan jumlah 237 individu dari kumpulan umur yang sama.
"Diingatkan kepada mereka yang berada dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas untuk lebih berhati-hati semasa menggunakan medium media sosial," katanya.
Beliau berkata, warga emas perlu mempunyai pengetahuan ketika menggunakan media sosial yang sarat dengan pelbagai kandungan sahih, palsu dan sebagainya.
"Lakukanlah semakan terperinci sebelum mempercayai sebarang tawaran atau iklan yang dipaparkan.
“Paling utama, jangan sesekali menyertai skim pelaburan yang tidak dilesenkan atau diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti," katanya.
Kata beliau, sejumlah 4,170 operasi telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu khusus untuk menumpaskan sindiket pelaburan.
"Daripada keseluruhan operasi tersebut, seramai 3,409 individu telah berjaya ditahan," jelasnya.