fb fb fb fb fb

Wanita warga emas ditemukan rentung

Foto: FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

SANDAKAN, 30 April-  Seorang wanita warga emas ditemukan rentung selepas rumah didiami terbakar di Kampung Sungai Kapur, Jalan Ulu Dusun Batu 28, di sini, tengah malam tadi.

Mangsa berusia 84 tahun ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Balai dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.41 tengah malam.

"Seramai 12 anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal sudah terbakar 100 peratus dan usaha memadam segera dijalankan bagi mengelak api merebak.

"Terdapat seorang mangsa wanita warga emas ditemukan rentung dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat sebelum operasi ditamatkan pada 3.17 pagi.

"Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa," ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI