fb fb fb fb fb

Warga emas didenda RM5,000, kemuka borang banjir butir matan palsu

Tertuduh, Abdul Wahab Idris, 64 merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPPK) sebuah kampung di daerah Dungun.

KUALA TERENGGANU, 28 November-Gara-gara mengemukakan borang bantuan banjir mengandungi butir matan palsu, tahun lalu, seorang lelaki warga emas didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd. Azhar Othman membacakan keputusan itu terhadap Abdul Wahab Idris, 64, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPPK) sebuah kampung di daerah Dungun.

Tertuduh turut berdepan penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM) dengan memperakui dan menandatangani borang pengesahan daftar nama berkaitan bantuan banjir anaknya yang tidak layak menerima bantuan tersebut.

Kesalahan itu dibuat pada April 2022 di daerah Dungun dan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun yang sama

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh melalui peguam bela, Nurul Najmi Adila Md. Nasir, dalam rayuannya memohon hukuman ringan berbentuk denda dengan alasan masalah kesihatan selain pengakuan awal bersalah.

Hakim Mohd. Azhar kemudian dalam penghakimannya berkata, hukuman setimpal wajar dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat amnya.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar manakala tertuduh diwakili Nurul Najmi Adila.

ZEHRA BINTI ZAMBRI