fb fb fb fb fb

Kediaman warga emas terbakar, tiga melecur

Foto JBPM

BUKIT MERTAJAM, 28 Januari - Empat warga emas termasuk seorang wanita melecur dan mengalami masalah kesihatan selepas rumah didiami mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Alma Estate, Jalan Rozhan awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa berusia lingkungan 70-an.

Pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.39 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam terus ke lokasi.

"Anggota Bomba daripada BBP Bukit Mertajam telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera serta bantuan daripada BBP Bandar Perda sebaik panggilan diterima.

"Kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dengan anggaran keluasan 60x20 kaki persegi dan sebaik pihak bomba tiba mendapati kebakaran itu sedang marak dengan 80 peratus kediaman tersebut telah terbakar.

"Pihak bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman dan kebakaran dapat dikawal pada 3.06 pagi dari merebak ke rumah berhampiran, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian," kata JBPM.

Menurut jurucakap itu, wanita dan seorang lelaki yang cedera melecur dalam kebakaran berkenaan telah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) manakala dua lagi menerima rawatan awal daripada pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi sebelum dihantar ke HBM.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

TETITIA YUSOFF