fb fb fb fb fb

Kes seludup: Warga emas didakwa 'angkut' lima warga Myanmar guna teksi

(Mohd Aseri Musa di pekarangan Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah)

ALOR SETAR, 5 Oktober- Seorang pemandu teksi warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen sini hari ini, atas pertuduhan membawa lima warga Myanmar yang diseludup di Changlun, Kedah, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Aseri Musa, 60, tidak membuat sebarang pengakuan setelah pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Aseri didakwa mengangkut pendatang Myanmar berusia antara lima hingga 37 tahun dengan menaiki sebuah kereta berhampiran Taman Hosba, kira-kira pukul 5.00 petang pada 29 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM250,000 atau keduanya sekali.

Hakim tidak membenarkan tertuduh dijamin berikutan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan menetapkan 8 November depan untuk sebutan semula kes, sementara menunggu kenyataan lima pendatang terbabit.

Tertuduh dihantar ke Penjara Alor Setar bagi menunggu tarikh perbicaraan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syaliati Mohd Sobri, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Samsul Nizam Solimi.

(Mohd Aseri Musa (merah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah)

Media Baharu