fb fb fb fb fb

Melecur teruk, lelaki warga emas bergaduh dengan kekasih di Taman Utama Bercham meninggal dunia

FOTO JBPM PERAK

IPOH, 1 Mac- Lelaki warga emas yang melecur dalam kebakaran dua kenderaan dipercayai selepas bertengkar dengan seorang wanita di Taman Utama Bercham Rabu lalu telah meninggal dunia.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa berusia 64 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada pukul 6.52 petang, semalam.

Sementara itu, mangsa wanita berusia 57 tahun yang mempunyai kesan lecur 70 peratus masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama dan belum sedarkan diri.

Setakat ini, empat saksi telah dirakam percakapan.

"Sampel daripada kereta dan motosikal yang terbakar telah diambil oleh pihak forensik PDRM Perak dan pihak forensik bomba juga telah membuat pemeriksaan dan kita akan menunggu laporan daripada forensik bomba untuk mengetahui punca kebakaran tersebut,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bagi Mac 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Dalam perkembangan berlainan, Datuk Seri Mohd Yusri memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kegiatan seorang lelaki dikenali ‘Mawla Mohamed Amin Al-Hassan’ yang mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya akan terus memantau perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sepatutnya sekiranya kegiatan tersebut dikesan di Perak.

Sementara itu, beliau memaklumkan kes kenderaan rasmi menteri yang mengekori rapat sebuah ambulans di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, awal bulan lepas telah selesai.

Jelasnya, tindakan mahkamah telah diambil dan pihak berkaitan juga telah dikenakan kompaun.

Pada 3 Februari lalu, tular di media sosial tindakan sebuah kenderaan rasmi menteri mengekori rapat sebuah ambulans yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke lokasi kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, Perak.

Kes berkenaan disiasat mengikut bawah Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang menetapkan bahawa pemandu harus memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dengan lampu siren menyal

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE