SEBERANG PERAI, 1 Mac -Dua buah rumah kluster atau rumah berkembar dua tingkat musnah dalam kebakaran di Taman Sembilang, Seberang Jaya, di sini.
Kejadian itu menyebabkan rumah pertama hangus 70 peratus, manakala sebuah lagi telah musnah 50 peratus.
Menurut, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pegawai Bomba Kanan II Shahrul Munawer Taharen, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran membabitkan rumah berkeluasan 800 kaki persegi bagi setiap unit itu.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 7.19 malam tadi.
“Kami berjaya memadamkan api sepenuhnya pada pukul 8.07 malam, dan operasi tamat pada 9.53 malam.
“Lima lagi rumah berhampiran turut terkena bahang kepanasan terlampau yang boleh mencetuskan kebakaran, bagaimanapun kami berjaya menyelamatkan kediaman terbabit daripada terbakar,” katanya ketika dihubungi,
Seramai 21 anggota bomba terlibat dengan operasi pemadaman itu. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Terdahulu, laporan awal pihak bomba menerusi satu kenyataan menyebut kebakaran itu melibatkan tujuh buah rumah.
"Apabila jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi, sebanyak tujuh rumah kluster jenis dua tingkat berkeluasan 56 meter persegi terbakar dan api sedang marak.
"Pihak bomba menjalankan kerja pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain dalam tempoh 10 minit dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 8.07 malam," menurut kenyataan awal itu.
Kebakaran menyebabkan tujuh keluarga hilang tempat tinggal, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.