KANGAR, 31 Disember - UMNO Bahagian Kangar berjaya melaksanakan lebih 300 program bersama komuniti sepanjang tahun 2025, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan parti itu dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat setempat.
Program-program yang dilaksanakan merangkumi pelbagai bidang termasuk kebajikan, program berkala, sukan dan rekreasi, khidmat komuniti, sesi dialog serta ilmiah, selain program khas bersempena sambutan perayaan.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata antara program utama yang telah dilaksanakan ialah Program Sumbangan Mangsa Banjir, Khidmat Komuniti Pasca Banjir, Program 'Mai Derma Darah: Be A Hero', Ziarah Kasih; Program Ngaji Dewasa dan Remaja serta Program Jiwa Murni Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, perlaksanaan program bersama komuniti itu merupakan manifestasi keprihatinan kepimpinan UMNO Bahagian Kangar terhadap keperluan rakyat, di samping berfungsi sebagai medium penyaluran maklumat berkaitan inisiatif dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan MADANI.
"Program-program ini bukan sahaja mendekatkan kepimpinan dengan masyarakat, malah membuka ruang untuk memahami permasalahan rakyat secara langsung, mengukuhkan hubungan silaturahim serta menggalakkan penglibatan aktif penduduk di kawasan masing-masing," katanya.
Pelaksanaan setiap program turut disokong melalui kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan, termasuk Pertubuhan Sukarelawan Malaysia, Pertubuhan ABATA Sukan dan Rekreasi, Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Perlis, Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa serta institusi pengajian tinggi.
Mengulas perancangan tahun hadapan, Datuk Dr Fathul Bari berkata UMNO Bahagian Kangar menyasarkan untuk melaksanakan lebih banyak program, melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kangar, dengan tumpuan terarah kepada penyertaan merentas kaum dan pelbagai peringkat usia.