fb fb fb fb fb

Kadar tol 2026 kekal: Pengguna Jambatan Kedua Pulau Pinang tarik nafas lega

Foto RTM

BATU KAWAN, 31 Disember - Keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol di sepuluh lebuh raya utama bagi tahun 2026, termasuk Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mendapat sambutan positif daripada pengguna, khususnya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada laluan berkenaan setiap hari.

Kebanyakan pengguna menyifatkan langkah ini sebagai inisiatif tepat yang meringankan beban kos harian, membolehkan peruntukan perbelanjaan bagi tol digunakan untuk keperluan lain yang lebih mendesak.

Muhamad Fazil Abdul Rahaman, seorang pengguna tegar tol menyifatkan dengan tiada kenaikan tol ini, sedikit sebanyak membantunya menjimatkan kos penggunaan jambatan itu setiap hari.

"Bajet yang biasanya digunakan untuk tol boleh diperuntukkan ke keperluan lain. Tol ini memang perlu kajian dari semasa ke semasa kerana kenaikan akan membebankan pengguna, dan kalau ada penurunan, lagi baik," jelasnya.

Selain itu, pemandu kenderaan logistik dan kelas 2 turut menyambut baik keputusan ini.

"Kami menggunakan tol setiap hari. Kalau boleh kekalkan dan jangan naikkan lagi kadar tol kerana akan membebankan perbelanjaan harian," menurut Abdullah Fahmi.

Pandangan serupa disuarakan Johari Ahmad.

"Sekali lalu untuk kenderaan kelas dua RM30. Kalau lebih, memang mengganggu belanja harian kami. Bersyukurlah kalau ia tetap," katanya.

Golongan peniaga juga menekankan kepentingan kelancaran akses antara bahagian pulau dan tanah besar.

Bagi N. Nathan, kadar tol yang stabil memudahkan pergerakan dan operasi perniagaannya yang kerap melakukan perjalanan dari Batu Maung ke Seberang Perai, sebelum kembali ke Batu Kawan untuk penghantaran barang.

Baru-baru ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyifatkan keputusan mengekalkan kadar tol ini selari dengan komitmen kerajaan dalam melindungi kebajikan rakyat.

Malah, dijangka memberi manfaat kepada hampir sejuta pengguna harian, walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan mencecah RM591 juta.

EZA YUSMAWATI YAACOP