Keluarga bimbang keselamatan Suu Kyi, mohon campur tangan Perancis

Aung San Suu Kyi /REUTERS

PARIS,5 Mei – Anak kepada pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, pada Selasa menuntut bantuan Perancis bagi mendapatkan bukti pengesahan bahawa ibunya masih hidup selepas dipindahkan ke tahanan rumah, menurut kenyataan peguamnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga masih tidak menerima khabar atau bukti kehidupan Suu Kyi selama bertahun-tahun.
  • Lokasi sebenar beliau masih tidak diketahui walaupun pejabat junta berkongsi foto tanpa tarikh.
  • Peguam menyatakan foto itu mungkin asli atau hasil kecerdasan buatan, menimbulkan keraguan tentang kebenaran.
  • Junta menggulingkan kerajaan 2021 dan menahan Suu Kyi dengan pertuduhan didakwa direka untuk menyingkirkan pengaruhnya.

Ketua junta yang kini merupakan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, pada Khamis lalu mengarahkan pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 80 tahun itu dipindahkan selepas lima tahun ditahan dalam satu rampasan kuasa.

Bagaimanapun, anak lelakinya, Kim Aris, berkata beliau masih belum mendengar sebarang khabar daripada ibunya, yang kekal mempunyai pengaruh besar di Myanmar.

“Saya memohon bantuan Perancis untuk menyertai rayuan saya supaya kami dapat memperoleh bukti pengesahan bebas bahawa beliau masih hidup, dan supaya hak asasi beliau dijamin: penjagaan perubatan yang sewajarnya, akses kepada peguam serta keluarga,” tulis beliau dalam sepucuk surat kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron yang dilihat oleh AFP.

Peguam Suu Kyi, Francois Zimeray, memaklumkan bahawa Aris telah menyerahkan surat tersebut kepada Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot dalam satu pertemuan pada Selasa.

“Kami tidak mempunyai sebarang bukti hidup, tiada foto selama bertahun-tahun, malah tiada sebarang petunjuk bahawa beliau benar-benar telah dipindahkan.

Kami masih tidak tahu di mana beliau berada,” katanya kepada AFP.

Pejabat Min Aung Hlaing pada Khamis lalu ada berkongsi sekeping foto tanpa tarikh yang menunjukkan Suu Kyi duduk diapit oleh dua lelaki beruniform.

“Namun, kami tidak tahu sama ada foto itu benar atau hasil buatan kecerdasan buatan (AI),” kata Zimeray.

Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pimpinan Suu Kyi yang dipilih melalui pilihan raya pada 2021, dan menahan beliau atas pelbagai pertuduhan yang menurut kumpulan hak asasi manusia sengaja diada-adakan untuk menyingkirkan pengaruh beliau.

Perang saudara yang menyusul selepas itu telah mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan rakyat di negara Asia Tenggara berpenduduk kira-kira 50 juta orang itu hilang tempat tinggal.- AFP