
ASHKELON, 5 Mei – Mahkamah Israel hari ini memerintahkan tempoh tahanan dua aktivis antarabangsa flotila bantuan Gaza dilanjutkan sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan atas dakwaan terlibat dengan aktiviti keganasan.
- Saif Abu Keshek (Sepanyol) dan Thiago Avila (Brazil) ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
- Kumpulan Adalah melaporkan kedua-duanya mengadakan mogok lapar, kini memasuki hari keenam sebagai protes terhadap penahanan mereka.
- Pendakwaan menuduh mereka membantu musuh sewaktu perang dan menjadi ahli serta menyediakan perkhidmatan kepada organisasi pengganas.
Warga Sepanyol, Saif Abu Keshek dan warga Brazil, Thiago Avila dibawa ke mahkamah di bandar Ashkelon untuk pendengaran kedua pada Selasa selepas ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Greece, Khamis lalu.
Kumpulan hak asasi Israel, Adalah, yang mewakili pasangan itu memaklumkan bahawa kedua-dua aktivis berkenaan kini sedang melancarkan mogok lapar yang memasuki hari keenam sebagai tanda protes terhadap penahanan mereka.
“Mahkamah meluluskan permohonan untuk menahan mereka sehingga pagi Ahad,” kata penyelaras advokasi antarabangsa Adalah, Miriam Azem kepada media.
Dalam pendengaran tersebut, pihak pendakwaan mengemukakan senarai pertuduhan berat termasuk “membantu musuh sewaktu perang” serta “menjadi ahli dan menyediakan perkhidmatan kepada organisasi pengganas”.
Peguam bela bagaimanapun mencabar bidang kuasa mahkamah Israel dengan berhujah bahawa penahanan tersebut merupakan satu “penculikan haram” memandangkan aktivis berkenaan ditangkap di perairan antarabangsa.
Pihak Adalah turut mendakwa kedua-dua aktivis terbabit telah menjadi mangsa penderaan fizikal dan psikologi dalam tahanan. Namun dakwaan itu ditolak oleh pihak berkuasa Israel.
Kementerian Luar Israel mendakwa kedua-dua individu itu mempunyai kaitan dengan Persidangan Popular untuk Palestin di Luar Negara (PCPA), sebuah kumpulan yang dituduh oleh Washington bertindak secara sulit bagi pihak Hamas.
Kedua-dua aktivis tersebut merupakan sebahagian daripada puluhan peserta Global Sumud Flotila yang belayar dari Perancis, Sepanyol dan Itali dalam misi memecahkan sekatan laut Israel bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza yang kini musnah akibat konflik. – AFP