KPTM, UniKL sasar penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang 2028

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman, bercakap pada sidang media khas pelaburan MARA yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini / Foto BERNAMA

Kuala Lumpur, 5 Mei – Sektor pendidikan tinggi swasta negara dijangka mengalami anjakan besar apabila Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sdn. Bhd. dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • MARA merancang tawaran awam permulaan (IPO) untuk memperkukuh kedudukan kewangan dan memacu pertumbuhan global subsidiarinya.
  • Tempoh tiga tahun disasarkan, dengan penyenaraian dijangka dilaksanakan antara 2026 hingga akhir 2028.
  • Langkah ini dijangka memberi nilai tambah kepada portfolio pendidikan negara dan mewujudkan penanda aras baharu.

Inisiatif Tawaran Awam Permulaan (IPO) itu merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperkukuh kedudukan kewangan serta memacu pertumbuhan kedua-dua subsidiarinya ke peringkat global.

Ketua Pengarah MARA, Zulfikri Osman berkata, tempoh tiga tahun disasarkan bagi melengkapkan semua keperluan penyenaraian, dengan jangkaan pelaksanaan menjelang akhir tahun 2028.

“Ini merupakan inisiatif kami untuk membawa kedua-dua syarikat ini ke arah penyenaraian IPO, memandangkan prestasi kukuh yang ditunjukkan.

“Bagi tempoh pelaksanaan, kami menjangkakan dalam masa tiga tahun bermula sekarang, kedua-dua syarikat akan disenaraikan.

“Ini melibatkan tempoh antara 2026 hingga akhir 2028 sebelum penyenaraian dilaksanakan,” katanya pada sidang media khas pelaburan MARA di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai antara subsidiari berprestasi tinggi di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, penyenaraian KPTM dan UniKL dijangka memberi nilai tambah kepada portfolio industri pendidikan negara.

Langkah tersebut juga berpotensi mewujudkan penanda aras baharu dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia apabila institusi pendidikan menjadi sebahagian daripada syarikat awam tersenarai.