
MADRID, 19 Oktober – Penyerang Perancis dan Real Madrid, Kylian Mbappe meledak dua gol termasuk satu jaringan individu menakjubkan ketika membelasah Sevilla 4-1 dalam aksi La Liga pada Ahad.
- Arda Guler membuka jaringan dengan rembatan lambung menakjubkan pada minit ke-30.
- Kylian Mbappe tunjuk aksi individu memukau termasuk gerakan roulette dan sepakan penalti Panenka.
- Mourinho puji kerja berpasukan dan perubahan taktikal, Real Madrid melonjak ke tangga ketiga liga.
- Sevilla dan jurulatihnya kritik mutu pengadilan, pertikaian insiden Guler menyiku dan keputusan pengadil dipersoal.
Kemenangan itu membolehkan gergasi Sepanyol itu melonjak ke tangga ketiga liga.
Pada perlawanan berkenaan, Arda Guler, membuka jaringan menerusi rembatan menarik sebelum Mbappe menambah dua gol dan Yan Diomande melengkapkan kemenangan menerusi rembatan kencang bagi membolehkan pasukan bimbingan Jose Mourinho memintas Real Betis.
Gol pertama Mbappe hadir menerusi aksi individu memukau apabila dia melakukan gerakan roulette di luar kotak penalti Sevilla.
Sementara gol keduanya dijaringkan menerusi sepakan penalti ‘Panenka’ yang melambung melepasi penjaga gol.
Juara bertahan, Barcelona, mendahului Real Madrid dengan kelebihan enam mata menjelang aksi El Clasico di Camp Nou hujung minggu depan selepas membelasah Betis pada Sabtu.
“Kami bermain dengan baik… kami sebuah pasukan dan bekerja untuk memperbaiki prestasi. Kami baru bersama dalam tempoh yang singkat,” kata Mourinho kepada Real Madrid TV.
“Sukar untuk menikmati ketenangan seperti jurulatih lain di kelab lain, memandangkan besarnya tekanan di Real Madrid, tetapi kami memanfaatkan setiap minit yang ada”, ujarnya.
Mourinho menurunkan Diomande di bahagian sayap kiri bagi menggantikan pemain sayap Brazil, Vinicius Junior, yang digantung perlawanan, selain meletakkan Guler di bahagian tengah.
Kad merah yang diterima Vinicius minggu lalu kerana menarik rambut lawan mencetuskan kemarahan di ibu kota Sepanyol berhubung mutu pengadilan dalam saingan La Liga.
Real Madrid dan Mourinho, berulang kali mengkritik pengadilan di Sepanyol sejak beberapa minggu lalu. malah kritikan berkenaan semakin kerap sejak dua musim kebelakangan ini ketika mereka gagal memenangi sebarang trofi utama.
Bagaimanapun, dalam perlawanan kali ini, Sevilla mempunyai lebih banyak alasan untuk mempersoalkan keputusan pengadil ketika Madrid melakar kemenangan selesa.
Permulaan perlawanan yang hambar berubah apabila Guler dilihat menyiku pemain Sevilla, Peque, namun tidak dikenakan sebarang tindakan pada pertengahan separuh masa pertama.
“Ada satu perlawanan yang berlangsung 11 menentang 11, dan mereka memang layak menang tanpa sebarang keraguan.
“Namun, kami dinafikan peluang untuk bermain satu lagi perlawanan,” kata jurulatih Sevilla, Luis Garcia Plaza, yang kecewa dengan mutu pengadilan perlawanan berkenaan.
“Kami dinafikan peluang untuk bermain dalam perlawanan 11 menentang 10. Selepas itu, saya tidak mahu bercakap lagi mengenai perlawanan ini. Kami sepatutnya bermain dengan kelebihan seorang pemain sejak minit ke-25”, ujarnya.
Sementara itu, Mourinho pula berkata, beliau belum melihat ulang tayang insiden yang menunjukkan Guler menyiku Peque.
Sevilla pada awalnya berjaya mengekang asakan barisan serangan Madrid, namun mereka akhirnya dibolosi menerusi sentuhan magis Guler pada minit ke-30.
Jude Bellingham melorongkan bola ke bahagian sayap sebelum pemain termahal kelab itu, Diomande, menerima hantaran dan mengumpan kepada Guler di luar kotak penalti.
Pemain tengah menyerang dari Turkiye itu kemudian melepaskan rembatan lambung yang menakjubkan, melepasi penjaga gol Sevilla, Odysseas Vlachodimos, sebelum menerjah penjuru atas gawang.
Mbappe hampir menambah jaringan kedua menerusi larian pantas. Namun percubaan rendahnya berjaya ditepis.
Bintang Perancis itu tidak menunggu lama untuk mencatat nama sebagai penjaring menerusi salah satu gol tercantik musim ini.
Bellingham melakukan hantaran ke Mbappe sebelum penyerang itu melakukan gerakan roulette yang memukau untuk memasuki kotak penalti, diikuti gerakan pantas memperdaya penjaga gol sebelum menolak bola masuk ke gawang.
Sevilla membantah kerana mendakwa penyerang mereka, Robbie Ure, dikasari ketika gerakan serangan itu bermula, namun bantahan mereka tidak dilayan.
Mbappe kemudian melebarkan jurang menerusi sepakan penalti selepas terjatuh susulan sentuhan ringan Andres Castrin di dalam kotak penalti.
Penyerang itu, yang berharap dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia pada majlis anugerah Ballon d’Or pada penghujung Oktober, menyempurnakan penalti menerusi sepakan lambung untuk mencatat gol liga kesembilan musim ini.
Sevilla merapatkan jurang menerusi jaringan kemas Manuel Bueno, namun mereka gagal untuk membuat kebangkitan.
Pemain sayap Ivory Coast, Diomande, kemudian melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol keduanya sejak menyertai Madrid pada musim panas lalu dari RB Leipzig.
Dalam aksi lain, Real Sociedad melonjak ke tangga kelima selepas membelasah pasukan tercorot Malaga 5-2, Celta Vigo menewaskan Alaves 2-1 manakala Osasuna mengatasi Racing Santander 2-0. – AFP.