
MUNICH, 19 Oktober – Hasrat pemain boling negara, Natasha Roslan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) tidak kesampaian, selepas tewas tipis kepada wakil Perancis, Manon Clement dengan keputusan 1-2 dalam pertarungan yang berlangsung di Max Munich Bowling, Brunnthal, Jerman pada Ahad.
- Natasha membawa pulang pingat perak selepas tewas pada permainan penentuan.
- Format best of three: tewas 190-231, menang 206-147, tewas penentuan 168-204.
- Pingat gangsa dikongsi Nora Johansson dan Shannon Pluhowsky; Natasha juara edisi 2025 di Hong Kong sebelum ini.
Pada perlawanan yang menggunakan format best of three itu, pemain berusia 28 tahun itu memberi saingan sengit pada perlawanan pertama sebelum tewas 190-231 sebelum mempamerkan kebangkitan untuk memenangi permainan kedua 206-147 bagi menyamakan kedudukan sekali gus mengheret pertarungan ke permainan penentuan.
Namun, Clement memanfaatkan permainan ketiga untuk menoktahkan kemenangan 204-168, bagi membolehkan wakil Perancis itu membawa pulang pingat emas, manakala Natasha membawa pulang perak.
Pingat gangsa menjadi milik bersama Nora Johansson dari Sweden dan Shannon Pluhowsky dari Amerika Syarikat.
Sebelum ini, Natasha berjaya mencipta sejarah sebagai pemain perseorangan wanita pertama Malaysia muncul juara pada edisi 2025 di Hong Kong.