Op Bersepadu “litar lumba”: 179 saman dikeluarkan, 30 motosikal disita

Gambar hiasan

BUTTERWORTH, 19 Oktober – Sebanyak 30 motosikal disita, manakala 179 saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu Motosikal berhampiran laluan keluar Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), semalam hingga awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 145 individu dan 133 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
  • Kesalahan utama: menunggang tanpa lesen, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tidak mempamerkan lesen P atau L.
  • JPJ mengeluarkan lima notis teknikal, 14 saman dan dua notis sita bagi motosikal kategori ekstrem.
  • Rakaman tular memaparkan penunggang mengubah laluan keluar BORR seperti litar lumba, mengganggu aliran trafik dan membimbangkan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Anuar Abdul Rahman berkata, seramai 145 individu dan 133 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Sebanyak 30 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Daripada 179 saman yang dikeluarkan, 158 dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala 21 lagi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesalahan paling banyak dikesan ialah menunggang tanpa lesen memandu, membabitkan 25 kes, diikuti nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (24), tidak mempamerkan lesen memandu percubaan (P) atau lesen memandu kompeten (L) (17).

Selain itu, terdapat sebanyak 16 pengubahsuaian struktur atau peralatan motosikal, aksesori tidak sempurna (16) dan pengubahsuaian ekzos (15).

“Turut dikesan 13 kes motosikal dikesan tanpa nombor pendaftaran, 12 kes tanpa cermin sisi, enam kes kenderaan tanpa perlindungan insurans, enam kes lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, lima kes lesen memandu tamat tempoh dan tiga kes brek tidak berfungsi dengan baik,” katanya.

Menurut ACP Anuar, JPJ turut mengeluarkan lima notis teknikal, 14 notis saman dan dua notis sita bagi motosikal yang dikategorikan sebagai ekstrem sepanjang operasi itu.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal dipercayai berkumpul di laluan keluar BORR di Bagan Ajam.

Kumpulan itu didakwa menjadikan laluan berkenaan seolah-olah litar lumba sehingga mengganggu aliran trafik dan menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.