
JOHOR BAHRU, 19 Oktober – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular menerusi video di media sosial kerana dipercayai menumbuk cermin sisi sebuah kereta di Taman Sentosa, di sini, pada 17 Oktober lepas.
- Suspek marah kerana pengadu membuat pusingan-U di hadapan lori hingga hampir melanggar kenderaan pengadu.
- Suspek turun dan menumbuk cermin sisi bahagian pemandu beberapa kali, mengakibatkan cermin tersebut retak.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan; pengadu mungkin dikenakan tindakan; hubungi hotline 07-2182323 jika ada maklumat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supt. Ng Swie Chait berkata punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana pengadu membuat pusingan-U di hadapan lori yang dinaiki suspek sehingga hampir melanggar kereta pengadu.
Suspek telah turun dan menumbuk cermin di bahagian pemandu kereta beberapa kali.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu, seorang lelaki warga asing, pada kira-kira 4.50 petang hari kejadian, manakala rakaman insiden itu dimuat naik ke media sosial pada 18 Oktober.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati kerana pengadu membuat pusingan-U di hadapan lori yang dinaikinya dan hampir melanggar kenderaan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian itu menyebabkan cermin sisi kereta berkenaan retak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pengadu juga boleh dikenakan tindakan di bawah Rule 13, LN166/59 kerana membuat pusingan-U di tempat yang tidak dibenarkan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan, selain meminta mereka yang mempunyai maklumat menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323.