Akses TVET belia luar bandar terus diperluas

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Akses latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada belia luar bandar akan terus diperluas menerusi program fizikal serta platform dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS sentiasa terbuka meneliti pelaksanaan latihan lebih dekat dengan komuniti melalui kerjasama agensi tempatan dan penggunaan kemudahan sedia ada.
  • Terdapat 21 ILKBS di seluruh negara menawarkan latihan sepenuh masa dan asrama bagi kira-kira 10,000 pelajar.
  • IKBN Seri Iskandar menawarkan kursus sepenuh masa dalam Teknologi Elektrik, Elektronik dan Teknologi Maklumat serta program jangka pendek.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol memaklumkan, langkah itu dibuat mengambil kira kekangan jarak, pengangkutan dan kos sara hidup yang boleh menjejaskan penyertaan belia dalam latihan kemahiran jauh dari tempat tinggal.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa terbuka untuk meneliti keperluan pelaksanaan latihan secara lebih dekat dengan komuniti, termasuk melalui kerjasama dengan agensi tempatan dan penggunaan kemudahan sedia ada yang bersesuaian sebagai lokasi latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil Pasir Salak, Jamaludin Yahya mengenai program TVET yang akan diperluaskan kepada belia di Matang Guntung, pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Bagi latihan sepenuh masa, Mordi berkata, belia boleh mengikuti pelbagai bidang kemahiran di 21 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara yang turut menyediakan kemudahan asrama berkapasiti kira-kira 10,000 pelajar.

Untuk belia di Matang Guntung, antara institusi berhampiran ialah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar yang menawarkan kursus sepenuh masa dalam bidang Teknologi Elektrik, Elektronik dan Teknologi Maklumat.

“Bagi tempoh 2023 hingga tahun lepas, IKBN Seri Iskandar melatih 711 graduan dengan kadar kebolehpasaran mencecah 96.20 peratus pada 2025, manakala purata gaji graduan direkodkan sebanyak RM1,911.41 sebulan,” katanya.

Selain program sepenuh masa, institut itu turut menawarkan latihan jangka pendek seperti Future Youth Skills, Kursus Akaun Amanah Latihan Khas ILKBS dan Program TVETPreneur secara fizikal atau dalam talian.

Sebanyak 424 belia menyertai program jangka pendek berkenaan sepanjang 2023 hingga 2025.

Belia juga berpeluang mengikuti kursus keusahawanan secara dalam talian menerusi Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah yang melaksanakan 26 webinar dan memanfaatkan 3,290 belia dalam tempoh sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.