Bursa Malaysia dibuka rendah, jejak kerugian Wall Street

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Bursa Malaysia memulakan dagangan Isnin dengan penurunan, seiring kerugian di Wall Street pada Jumaat lalu susulan aksi jualan saham teknologi dan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kaunter rugi atasi kaunter untung 423 berbanding 103; 270 tidak berubah, 2,048 tidak diniagakan dan 34 digantung.
  • Jumlah dagangan mencecah 247.52 juta unit bernilai RM165.34 juta.
  • Apex Securities menjangka FBM KLCI kekal berhati-hati akibat penjualan asing, harga minyak tinggi dan tekanan inflasi menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS.
  • Pelabur menilai prospek selepas KDNK suku ketiga 2026 tumbuh 5.3% dan memantau kesan peningkatan kos operasi terhadap pendapatan korporat.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.42 mata atau 0.52 peratus kepada 1,599.34 berbanding 1,607.76 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks itu dibuka 3.58 mata lebih rendah pada 1,604.18.

Dalam pasaran secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 423 berbanding 103, manakala 270 kaunter tidak berubah, 2,048 tidak diniagakan dan 34 digantung dagangan.

Jumlah dagangan setakat itu mencecah 247.52 juta unit bernilai RM165.34 juta.

Apex Securities Bhd menjangkakan FBM KLCI kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat, berikutan tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing dan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, sekali gus menjejaskan sentimen pelabur.

Firma pembrokeran itu berkata, penjualan saham teknologi dan berkaitan AI di Amerika Syarikat baru-baru ini, selain harga minyak yang tinggi serta tekanan inflasi, berpotensi terus melemahkan selera risiko pelabur menjelang keputusan dasar Rizab Persekutuan AS pada 29 Okt ini.

Di peringkat domestik, pelabur dijangka terus menilai prospek ekonomi Malaysia susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2026 sebanyak 5.3 peratus, selain memantau kesan peningkatan kos operasi terhadap pendapatan korporat, khususnya bagi perniagaan yang bergantung kepada tenaga kerja.

“Kami berpendapat pemulihan pasaran yang berterusan bergantung kepada aliran masuk dana asing yang lebih baik serta kestabilan pasaran global,” menurut firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM9.95, manakala Public Bank merosot 12 sen kepada RM4.71. CIMB tidak berubah pada RM7.20, Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM12.69 dan IHH Healthcare berkurangan dua sen kepada RM7.89.

Bagi saham paling aktif, JAKS Resources kehilangan satu sen kepada 13.5 sen, manakala Top Glove susut setengah sen kepada 89.5 sen. Ni Hsin tidak berubah pada 4.2 sen, Rekatech Capital turun satu sen kepada 3.5 sen dan Cape EMS merosot 2.5 sen kepada 28.5 sen.

Antara saham paling untung, Petronas Dagangan meningkat 24 sen kepada RM19.88, manakala Press Metal Aluminium dan Kuala Lumpur Kepong masing-masing menambah 10 sen kepada RM6.60 dan RM20.10.

Hibiscus Petroleum dan Petronas Chemicals pula masing-masing naik lapan sen kepada RM2.37 dan RM4.40.

Dalam kalangan saham paling rugi, Hong Leong Financial Group merosot 28 sen kepada RM17.56, manakala United Plantations susut 24 sen kepada RM30.36. Malaysian Pacific Industries turun 22 sen kepada RM40.20, MISC Bhd kehilangan 20 sen kepada RM8.56 dan Hong Leong Bank jatuh 16 sen kepada RM21.14.

Di papan indeks, FBM Emas susut 65.07 mata kepada 11,927.19, manakala FBM Top 100 merosot 64.42 mata kepada 11,722.35.

FBM Mid 70 turun 105.45 mata kepada 17,120.48, FBM Emas Shariah berkurangan 35.84 mata kepada 11,884.03 dan FBM ACE susut 44.89 mata kepada 5,386.16.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 163.13 mata kepada 18,588.69, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat tipis 0.63 mata kepada 173.42.

Indeks Perladangan susut 7.13 mata kepada 8,625.75, sementara Indeks Tenaga meningkat 3.62 mata kepada 824.62. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.