
JOHOR BAHRU, 18 Oktober – Kerajaan negeri sedia memastikan usahawan tempatan di Johor bukan sekadar menerima bantuan tetapi terus dibimbing sehingga berupaya mengembangkan perniagaan masing-masing sehingga menembusi pasaran antarabangsa.
- Agensi disarankan menjalin kerjasama dengan usahawan untuk memastikan akses maklumat, bantuan dan peluang mengembangkan perniagaan.
- Bimbingan berterusan selepas bantuan penting agar perusahaan kecil tidak terpinggir.
- Sokongan berterusan membantu meningkatkan daya saing dan memperluas pasaran produk tempatan.
- Kerjasama erat antara usahawan tanpa mengira kaum dan latar belakang memudahkan penembusan pasaran antarabangsa.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Mohd Hairi Mad Shah ketika menyatakan komitmen itu berkata, bagi mencapai matlamat berkenaan, agensi berkaitan disaran menjalin kerjasama dengan usahawan bagi memastikan kumpulan sasar memperoleh akses kepada maklumat, bantuan serta peluang mengembangkan perniagaan.
“Pendekatan itu penting bagi memastikan usahawan khususnya perusahaan kecil tidak terpinggir selepas menerima bantuan, sebaliknya terus mendapat sokongan untuk meningkatkan daya saing dan memperluas pasaran.
“Usaha membawa produk tempatan ke pasaran global memerlukan kerjasama erat semua usahawan tanpa mengira kaum dan latar belakang, sekali gus dijangka membuka ruang kepada lebih banyak produk tempatan dalam pasaran yang lebih luas,”katanya selepas Majlis Perasmian Hari Waqafpreneur 2026.