
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Inisiatif berkaitan bencana alam dan penggunaan tenaga cekap yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dilihat mampu membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam menghadapi kesan bencana serta kos sara hidup.
- Peningkatan bantuan banjir membantu pemulihan ekonomi dan membolehkan mangsa bangkit semula selepas terjejas akibat bencana.
- Rebat pembelian barangan elektrik cekap tenaga menggalakkan pilihan produk menjimatkan walaupun kos awal lebih tinggi.
- Insentif kerajaan menunjukkan keprihatinan, menyokong kelestarian dan meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Naziatul Aziah Mohd Radzi berkata, peningkatan bantuan banjir daripada RM5,000 kepada RM10,000 merupakan antara langkah yang memberi manfaat langsung kepada golongan terjejas.
“Dari segi bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat banjir, ia membantu aspek pemulihan ekonomi iaitu membolehkan mereka bangkit semula selepas terjejas teruk akibat bencana. Bantuan ini juga menjadi satu indikator keprihatinan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM di sini.
Mengulas mengenai rebat pembelian barangan elektrik cekap tenaga, beliau berkata, insentif itu berpotensi menggalakkan pengguna memilih produk berkenaan meskipun harganya lebih tinggi berbanding barangan biasa.
“Kerajaan perlu menanggung sebahagian kos tetapi sekurang-kurangnya ini merupakan satu langkah yang baik untuk menggalakkan pengguna memilih produk yang menjimatkan tenaga.
“Ia juga satu inisiatif yang menyokong kehidupan lebih lestari,” katanya.