MARA sasar jana pelaburan RM2.2 bilion menjelang 2030


Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman, bercakap pada sidang media khas pelaburan MARA yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini / Foto BERNAMA

Kuala Lumpur, 5 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk menjana nilai pelaburan berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang tahun 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif kredit karbon melibatkan lebih 200,000 hektar dengan potensi hasil sehingga RM450 juta menjelang 2030.
  • Pembangunan hartanah bernilai tinggi di Signal Hill, Ampangan dan Jalan Maktab, nilai pembangunan kasar dianggarkan RM1 bilion siap menjelang 2030.
  • MARA Corp kurangkan kerugian terkumpul kepada RM558.9 juta pada 2025, sasaran rugi RM49.7 juta 2026 dan keuntungan 2027.

Ketua Pengarahnya, Zulfikri Osman berkata, strategi tersebut merangkumi inisiatif kredit karbon serta pembangunan hartanah bernilai tinggi bagi memperkukuh asas aset MARA.

Menurut beliau, inisiatif kredit karbon dijangka melibatkan kawasan melebihi 200,000 hektar dengan potensi hasil sehingga RM450 juta menjelang 2030.

“Bagi sektor pembangunan hartanah, tiga lokasi utama telah dikenal pasti iaitu di Signal Hill, Ampangan dan Jalan Maktab di Kuala Lumpur.

“Nilai pembangunan kasar bagi ketiga-tiga projek ini dianggarkan mencecah RM1 bilion dan dijangka siap menjelang 2030,” katanya pada sidang media sempena Sambutan 60 Tahun MARA, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MARA turut merancang menjana pendapatan melalui inisiatif Wakaf MARA MADANI yang disokong pembangunan ekosistem wakaf bernilai RM1 bilion.

Sementara itu, syarikat pelaburan MARA, MARA Corporation Sdn Bhd mencatat pengurangan ketara dalam kerugian terkumpul.

Kerugian tersebut berjaya dikurangkan kepada RM558.9 juta pada akhir 2025 berbanding RM862.1 juta pada 2023.

MARA Corp menyasarkan pengurangan lanjut kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026 sebelum mencapai kedudukan keuntungan terkumpul pada 2027.

Dalam tempoh sama, antara 2024 hingga 2025, MARA turut merekodkan peningkatan hasil sebanyak 10 peratus daripada RM1.53 bilion kepada RM1.69 bilion.