Nestlé Malaysia tangani gangguan bekalan, perkukuh ekosistem & komitmen halal

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Bhd, Juan Aranols / Foto RTM

PETALING JAYA, 5 MEI – Nestle Malaysia Bhd berupaya menangani gangguan rantaian bekalan global menerusi strategi kepelbagaian sumber dan ekosistem yang berkembang pesat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membangun sumber bekalan alternatif untuk pilihan operasi apabila sumber utama terjejas.
  • Memperkukuh ekosistem pembekal tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada rantau berisiko.
  • Melancarkan inisiatif SYNERGY bersama JAKIM bagi memperkukuh piawaian dan kerjasama Halal industri.
  • Komited memajukan piawaian Halal serta meluaskan inisiatif: pembangunan bakat, pengukuhan industri dan penskalaan rantaian nilai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata langkah itu juga membolehkan pihak syarikat membina keupayaan rantaian bekalan, sekali gus memperkukuh komitmen halal dalam operasinya.

“Salah satu strategi kami adalah adalah memastikan kami mempunyai sumber bekalan alternatif supaya apabila berlakunya gangguan bekalan, kami mempunyai pilihan lain.

”Untuk beberapa tahun yang lepas, kami turut memperkukuhkan ekosistem pembekal tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada rantau yang berisiko ini,” katanya selepas majlis pelancaran inisiatif SYNERGY dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Nestle kekal komited untuk memajukan piawaian Halal dan memupuk kerjasama lebih rapat merentasi industri, seterusnya menyumbang kepada kepimpinan berterusan Malaysia dalam ekonomi Halal global.

Pada masa hadapan, syarikat itu merancang untuk memperluaskan inisiatif sedia ada termasuk usaha membangunkan bakat halal, mengukuhkan keupayaan industri dan menyokong rantaian nilai halal menerusi program penskalaan.