DNB bakal percepat pelaksanaan liputan 5G dalam bangunan menerusi IBS

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 5 Mei– Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan pelaksanaan lebih pesat bagi liputan 5G dalam bangunan menerusi pengaktifan In-Building Solutions (IBS) merangkumi kemudahan komersial utama di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pavilion Kuala Lumpur kini dilengkapi liputan 5G dalaman oleh SPV DNB.
  • 72 lokasi utama sudah dilengkapi IBS, termasuk KLIA, KLIA2, Lapangan Terbang Senai, Pulau Pinang dan KL Sentral.
  • DNB bekerjasama dengan pemegang saham, pemilik bangunan dan rakan strategik untuk sasar lebih banyak pusat beli-belah.
  • Liputan dalaman 5G meningkat memberikan sambungan berkelajuan tinggi waktu puncak dan menyokong automasi perusahaan serta peningkatan produktiviti.

DNB dalam satu kenyataan menjelaskan, Pavilion Kuala Lumpur merupakan lokasi terbaru yang dilengkapi 5G dalaman oleh Syarikat Tujuan Khas (SPV) itu.

Sebelum ini, 72 lokasi utama telah dilengkapi oleh IBS, termasuk KLIA, KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Pulau Pinang, KL Sentral, hospital utama seperti Institut Jantung Negara (IJN) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

”Pencapaian ini mencerminkan komitmen DNB dalam melengkapkan liputan 5G luar bangunan yang kini melebihi 80 peratus kawasan berpenduduk dengan sambungan yang kukuh di lokasi-lokasi tumpuan, sekali gus meningkatkan pengalaman digital harian bagi pengguna dan perniagaan.”

”Melalui kerjasama erat dengan para pemegang saham, pemilik bangunan dan rakan strategik lain, DNB merancang untuk menyasarkan pelaksanaan IBS di beberapa lagi pusat beli-belah sebagai sebahagian daripada inisiatif penting ini,” jelas DNB.

Menerusi liputan dalaman yang dipertingkatkan, pengguna bakal menikmati sambungan berkelajuan tinggi yang konsisten, termasuk pada waktu puncak.

Liputan 5G dalam bangunan juga merupakan pemacu penting kepada transformasi perusahaan, membolehkan organisasi melaksanakan sistem automasi berskala besar serta teknologi generasi baharu, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan.