Malaysia negara pertama berjaya hantar pulang tahanan Myanmar

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Oktober –Malaysia merupakan negara pertama yang berjaya menghantar pulang tahanan warga Myanmar ke negara asal mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghantaran pulang dilakukan hasil rundingan langsung antara kerajaan Malaysia dan Myanmar
  • Sejak Januari, kira-kira 10,000 tahanan Myanmar dihantar pulang melalui udara dan laut
  • Malaysia menetapkan supaya warganegara yang dihantar pulang dilayan munasabah tanpa kekasaran atau pelanggaran hak asasi
  • Proses dianggap penyelesaian awal; kerajaan mengambil kira aspek kemanusiaan, undang-undang antarabangsa, dan kebimbangan keselamatan tempatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghantaran pulang itu berjaya dilaksana hasil rundingan secara langsung dengan kerajaan Myanmar.

Beliau memaklumkan seramai 10,000 tahanan Myanmar dihantar pulang ke negara asal mereka sejak Januari tahun ini menerusi laluan udara dan laut.

Menurutnya, kerajaan mengambil kira aspek kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa dalam menangani isu berkenaan.

“Sejak dua tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk mengadakan rundingan secara terus dengan pimpinan tentera Myanmar ketika itu. Selepas beliau dilantik sebagai Presiden, saya mengadakan pertemuan kali kedua, masing-masing di Bangkok dan Beijing.

“Dalam rundingan itu, kita menetapkan supaya tindakan terhadap rakyat disederhanakan bagi mengelakkan mereka melarikan diri, selain memastikan rakyat tidak dilayan secara kasar.

“Dengan persetujuan Kementerian Pertahanan ketika itu, kita menghantar hospital sementara selepas kejadian gempa bumi dan meminta supaya rakyat dilayan secara munasabah serta tidak disekat untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Selepas syarat itu dipersetujui, barulah Kementerian Pertahanan melaksanakan usaha berkenaan dan memantau pelaksanaannya.

“Menteri Luar pula telah mengadakan tiga kunjungan bagi meneruskan rundingan dan memastikan hubungan dengan ASEAN terus diperkukuh,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Anwar berkata Malaysia turut menetapkan supaya tahanan Myanmar yang dihantar pulang tidak dilayan secara kasar, selain perlu diberikan layanan yang munasabah serta tidak berlaku pelanggaran hak asasi manusia oleh kerajaan Myanmar.

Beliau menegaskan proses penghantaran pulang yang telah dilaksana setakat ini merupakan langkah penyelesaian awal yang dicapai Malaysia.

Beliau turut mengambil maklum kebimbangan masyarakat dari aspek pekerjaan, keselamatan dan keselesaan rakyat tempatan, khususnya apabila jumlah warga Myanmar di negara ini telah mencecah kira-kira 200,000 orang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.