Kes dadah di Jakarta: Keselamatan lapangan terbang diperketat

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 6 Oktober -Beberapa langkah segera dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperketat keselamatan lapangan terbang susulan insiden membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta berkaitan kes dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saringan fizikal berasaskan risiko dan pemeriksaan bagasi 100% untuk penerbangan KLIA ke destinasi berisiko tinggi.
  • Kawalan akses terminal diperketat; tempoh sah kad akses dikurangkan dari lima ke dua tahun dan pas harian dikeluarkan.
  • Saringan dadah bagi kakitangan penerbangan dilaksanakan sejak pengambilan; calon perlu pemeriksaan rekod polis serta pemeriksaan berkala dan rawak.
  • Kehadiran Batalion 19 diperkuat di semua terminal; perkongsian risikan antara PDRM, AKPS, Kastam, AADK diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata antaranya ialah saringan fizikal bersasar berasaskan risiko serta pemeriksaan bagasi 100 peratus bagi penerbangan keluar dari KLIA ke destinasi berisiko tinggi.

Kawalan akses ke terminal turut diperketat, termasuk memendekkan tempoh sah kad akses keselamatan daripada lima kepada dua tahun.

“Kedua, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan, termasuk pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia, telah memperketatkan kawalan akses melalui pengeluaran pas harian bagi memastikan hanya individu yang dibenarkan dapat memasuki terminal. Ketiga, bagi kakitangan penerbangan termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan pengendali darat, saringan dadah telah dilaksanakan seawal proses pengambilan pekerja.

“Sebagai contoh, bagi pengambilan juruterbang oleh syarikat penerbangan, calon perlu menjalani saringan dan semakan rekod dengan pihak polis bagi memastikan tiada rekod berkaitan. Selain itu, pemeriksaan secara berkala dan rawak turut dilaksanakan. Usaha berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa penerbangan awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Selain itu, penempatan anggota Batalion 19 Pasukan Gerakan Am diperkukuh di semua terminal, manakala perkongsian risikan antara PDRM, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam dan agensi berkaitan diselaraskan bagi mengenal pasti ancaman serta modus operandi.

Jelas beliau kesemua langkah berkenaan diselaraskan Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian secara berkala.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.