
KUALA LUMPUR, 6 Oktober –Keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di sekolah merupakan tanggungjawab bersama ibu bapa serta warga pendidik dan tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata.
- Tindakan tegas perlu diambil terhadap ancaman keselamatan murid; sekolah wajib segera melaporkan sebarang kes untuk tindakan susulan.
- Ibu bapa mesti memperkukuh didikan agama, akhlak dan nilai hormat kepada guru sebagai asas pembentukan anak.
- Kementerian Pendidikan perlu teruskan langkah keselamatan: pemantauan asrama, audit, peningkatan penyeliaan, perkhidmatan kaunseling dan inisiatif kesihatan mental.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap sebarang isu yang mengancam keselamatan murid, selain meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai tanggungjawab masing-masing.
“Didikan asas agama dan akhlak daripada ibu bapa, termasuk penerapan nilai hormat terhadap guru, perlu dipertingkatkan.
“Usaha menangani isu ini memerlukan penglibatan semua pihak. Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak, manakala pihak sekolah pula perlu segera melaporkan sebarang kes yang berlaku.
“Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan isu berkenaan ditangani dengan berkesan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau pada masa sama menegaskan, perkara itu bukan bertujuan menyalahkan ibu bapa, sebaliknya mengingatkan bahawa institusi keluarga merupakan asas penting dalam pembentukan anak-anak dan kekuatan sesebuah negara.
Jelasnya, isu keselamatan dan kesejahteraan murid tidak akan dapat diselesaikan sepenuhnya tanpa kesedaran serta penglibatan semua pihak.
Tambah beliau, terdapat 10,259 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, melibatkan lebih lima juta murid serta 428,379 guru.
Sehubungan itu, tanggungjawab menjaga keselamatan pelajar tidak seharusnya diletakkan pada pihak sekolah dan kementerian semata-mata.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan murid, termasuk pemantauan asrama, audit keselamatan, peningkatan kapasiti penyeliaan, perkhidmatan kaunseling serta inisiatif berkaitan kesihatan mental dan kesejahteraan murid.