Jangan sorok kes buli, penderaan di sekolah – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 6 Oktober –Sebarang kes buli dan penderaan di sekolah tidak seharusnya disembunyikan semata-mata bimbang menjejaskan imej institusi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan untuk CCTV: RM3 juta sekolah, RM5 juta asrama penuh, tambahan RM15 juta tahun depan.
  • Lebih banyak kakitangan sokongan: 5,107 guru kaunseling dan 300 pembantu warden MySTEP dilantik.
  • Pemerkasaan kuasa disiplin dan sistem murid dipertingkat, termasuk advokasi suara murid serta saringan minda sihat awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap kes perlu dilaporkan dan ditangani segera bagi memastikan keselamatan serta kebajikan murid terjamin.

“Langkah-langkah untuk menangani isu buli dan salah laku di sekolah sememangnya telah diambil, namun mungkin belum dijelaskan secara menyeluruh. Antaranya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diperuntukkan RM3 juta bagi sekolah dan RM5 juta bagi sekolah berasrama penuh, selain tambahan peruntukan RM15 juta pada tahun depan.

“Seramai 5,107 guru bimbingan dan kaunseling turut disediakan, manakala 300 pembantu warden asrama melalui MySTEP dilantik. Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kebenaran untuk memasuki sekolah pada bila-bila masa bagi menjalankan pemeriksaan.

“Setakat ini, seramai 400 warden turut diberikan latihan berkaitan kemahiran dan sokongan psikososial,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, kuasa berkaitan disiplin turut diperkasakan dengan memberi ruang kepada guru besar dan pengetua serta jawatankuasa disiplin mengambil tindakan lebih tegas, termasuk menurunkan kuasa disiplin kepada guru.

Sistem disiplin murid turut ditambah baik, di samping pelaksanaan advokasi suara murid bagi memastikan pandangan dan permasalahan mereka didengar.

Langkah lain termasuk memperkukuh polisi perlindungan pelajar serta melaksanakan saringan minda sihat bagi mengenal pasti isu yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental murid pada peringkat awal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.