
KUALA LUMPUR, 6 Oktober -Jeneral Tan Sri Malek Razak dan Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman mendahului senarai 150 penerima pingat sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) 2026 di Istana Negara.
- Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke istiadat pengurniaan.
- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat ke istiadat berkenaan.
- Seri Paduka mengurniakan PGAT Kehormat kepada empat panglima tentera dari Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina.
- Pembahagian darjah: 22 PSAT, 30 PAT, 49 KAT dan 43 BAT dikurniakan kepada penerima.
Kedua-duanya dikurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT).
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan berangkat ke istiadat berkenaan yang berlangsung di Istana Negara.
Turut berangkat pada istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah PGAT Kehormat kepada empat penerima terdiri Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand Jeneral Ukris Boontanondhat; Panglima Tentera Laut Singapura Laksamana Muda Sean Wat; Panglima Tentera Udara Diraja Brunei Brigedier Jeneral (U) Haszahaidi Ahmad Daud dan Panglima Tentera Udara Filipina Leftenan Jeneral Arthur Mirasol Cordura.
Seramai 22 individu dikurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dan 30 individu menerima Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT).
Selain itu 49 individu menerima Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan 43 penerima Bentara Angkatan Tentera (BAT).
Hadir sama ke istiadat itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali.
Penganugerahan Pingat DKAT berlangsung dalam dua sesi pengurniaan, dengan sesi kedua dijadual diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 22 Oktober dan dijangka disempurnakan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled melibatkan 490 penerima, menjadikan jumlah keseluruhan penerima sebanyak 640 orang.