Malaysia serius teroka tenaga nuklear

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Profesor Madya Ir Dr Jasrul Jamani Jamian

KUALA LUMPUR, 6 Oktober -Malaysia dijangka mempergiat usaha peralihan kepada tenaga bersih termasuk solar dan nuklear bagi mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu serta gas asli dalam penjanaan elektrik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara masih banyak bergantung kepada arang batu dan gas asli untuk penjanaan elektrik.
  • Kerajaan serius meneroka tenaga nuklear melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
  • Tenaga nuklear dikategorikan bersih tanpa pelepasan karbon dioksida dan mampu menghasilkan tenaga besar dengan sumber lebih sedikit.
  • RMK13 merancang nuklear beroperasi 2031 bagi memperkukuh keselamatan bekalan tenaga; solar PV dijangka menyumbang 58% menjelang 2050.

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Profesor Madya Ir Dr Jasrul Jamani Jamian berkata, negara ketika ini masih banyak bergantung kepada sumber tenaga berasaskan arang batu dan gas.

Namun katanya, kerajaan dilihat semakin serius untuk meneroka tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada sumber tenaga yang lebih bersih menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Tenaga nuklear dikategorikan sebagai tenaga bersih kerana tidak menghasilkan pelepasan karbon dioksida.

Pada masa sama, ia mampu menghasilkan tenaga yang sangat besar dengan penggunaan sumber yang lebih sedikit.

“Jadi, jika Malaysia bergerak ke arah tenaga nuklear, kita secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada arang batu dan gas asli,” katanya kepada pemberita, di sini.

Menurut beliau, penggunaan tenaga nuklear juga berpotensi mengurangkan kos penjanaan elektrik, sekali gus memberi kesan kepada harga elektrik, meskipun penjimatan itu tidak semestinya dapat dinikmati pengguna secara langsung.

Bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan merancang pembangunan tenaga nuklear sebagai sumber elektrik bersih yang dijangka mula beroperasi pada 2031, selaras usaha memperkukuh keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga negara.

Sementara itu katanya, tenaga solar fotovoltaik (PV) turut memainkan peranan penting dalam agenda peralihan tenaga negara, dengan sumber itu dijangka menyumbang 58 peratus daripada penjanaan tenaga menjelang 2050.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.