
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Pasaran semikonduktor global diunjur melepasi nilai ambang RM4.7 trilion atau (AS$1 trilion) menjelang 2030, sekali gus membuka ruang luas bagi Malaysia meningkatkan penguasaan dalam segmen bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan wafer.
- Industri semikonduktor berkembang pesat susulan permintaan infrastruktur AI, pusat data, EV dan teknologi pemanduan autonomi.
- Kerajaan memacu Strategi Semikonduktor Nasional bagi membina ekosistem menyeluruh dan menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara.
- Malaysia dilihat sebagai destinasi pelaburan premium dan selamat, berkeupayaan bersaing sebagai penghubung antara ekonomi Timur dan Barat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pertumbuhan pesat industri itu didorong oleh peningkatan permintaan global terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI), pusat data, serta peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dan teknologi pemanduan autonomi.
“Pada tahun 2024, pasaran semikonduktor global dianggarkan bernilai kira-kira AS$630 bilion. Menjelang 2030, ia dijangka melepasi paras AS$1 trilion.
Pertumbuhan ketara ini sebahagian besarnya didorong oleh lonjakan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Permintaan yang semakin meningkat terhadap pusat data, pelayan serta peralatan rangkaian yang lebih cekap turut memerlukan kapasiti lebih besar bagi menampung trafik data global yang semakin tinggi.”
Beliau berkata, peningkatan trafik data dunia memerlukan kapasiti pelayan dan peralatan rangkaian yang lebih cekap, selain permintaan tinggi dalam sektor automotif melalui teknologi kenderaan elektrik (EV) dan sistem pemanduan autonomi.
“Malaysia komited untuk melakukan transformasi seiring dengan keperluan industri yang semakin berkembang dan semakin kompleks”, demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian SEMICON Southeast Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Menurut Johari, bagi merealisasikan matlamat tersebut, kerajaan kini giat memacu pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) untuk membina ekosistem yang lebih menyeluruh serta menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SEMI, Ajit Manocha menyifatkan Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif sebagai negara neutral dan stabil di tengah-tengah ketegangan geopolitik dunia yang kompleks.
Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai penghubung antara ekonomi Timur dan Barat telah mengubah persepsi pelabur global terhadap negara ini.
“Malaysia kini bukan sekadar destinasi pelaburan kos rendah, sebaliknya semakin diiktiraf sebagai destinasi pelaburan premium dan selamat, khususnya dalam sektor data, teknologi dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.