Lelaki rugi RM411,000 terpedaya pelaburan saham tidak wujud

PDRM

KUCHING, 5 Mei- Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun kerugian RM411,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan diiklankan menerusi aplikasi TikTok, suspek berurusan dengan mangsa melalui WhatsApp.
  • Mangsa membuat 17 pemindahan ke lima akaun bank, jumlah RM660,000.
  • Hanya menerima RM249,000; menyedari penipuan apabila diminta membeli IPO bernilai RM2 juta.
  • Akaun penerima pertama dibuka di OCBC Padungan; kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara, sebat dan denda.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu membabitkan pelaburan saham yang diiklankan menerusi aplikasi TikTok.

Menurutnya, pada Februari 2026, mangsa yang berada di Jeddah, Arab Saudi, berminat untuk menyertai pelaburan berkenaan sebelum berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian membuat 17 transaksi pemindahan wang ke dalam lima akaun bank berbeza bermula 5 Mac hingga 15 April 2026 dengan jumlah keseluruhan RM660,000.

“Bagaimanapun, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM249,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa menyedari ditipu apabila diminta dan diwajibkan membeli saham tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM2 juta bagi membesarkan pelaburan.

“Hasil semakan mendapati akaun pertama yang menerima pemindahan wang mangsa dibuka di OCBC Bank cawangan Padungan, Kuching,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat, dan juga boleh dikenakan denda,” katanya.