
KUALA KRAI, 5 Mei – Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang Tiga, Manek Urai Lama, pagi tadi.
- Mangsa Muhammad Irfan Zaidi, 20, penumpang Honda City, pulang dari Kuala Lumpur; telefon ibu, rancang bertolak selepas Subuh, memandu laju kira-kira 90 km/j.
- Kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan bertembung di garisan berkembar pada selekoh; Perodua Kembara dipercayai masuk ke laluan bertentangan.
- Keluarga dimaklumkan di hospital tentang kematian; jenazah dijangka dikebumikan di Kampung Pangkal Pisang selepas bedah siasat.
Salah seorang mangsa, Muhammad Irfan Zaidi, 20 tahun, dipercayai menemani rakannya pulang ke kampung dari Kuala Lumpur.
Mangsa yang merupakan penumpang kereta Honda City maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan Perodua Kembara pada kira-kira pukul 8.15 pagi.
Bapa mangsa, Zaidin Wahab berkata, anaknya sempat menghubungi ibunya selepas Isyak semalam untuk memaklumkan hasrat pulang.
“Dia ada telefon ibunya dan beritahu mahu pulang semalam, katanya nak balik selepas Subuh. Ibunya menasihatkan supaya tidak pulang kerana mereka baru sahaja berjumpa minggu lalu.
“Dia kata rakannya ajak teman. Selepas Isyak, dia hubungi ibunya lagi dan beritahu akan bertolak selepas Subuh. Masa itu dia cakap bawa kereta laju, sekitar 90 kilometer sejam sebelum kenderaan dari arah bertentangan masuk ke laluannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa turut memohon restu dan kedengaran lebih serius berbanding kebiasaannya.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 9 pagi, keluarga dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa mangsa telah meninggal dunia.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Pisang, Peringat selepas bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan bertembung di garisan berkembar di kawasan selekoh.
Pemandu Perodua Kembara dan penumpang Honda City maut di lokasi, manakala tiga lagi cedera dan dirawat di hospital.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.