Kerjasama pendidikan perkukuh hubungan ilmu Malaysia-Uzbekistan

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah / Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

TASHKENT, 5 Mei – Kerjasama dalam bidang pengajian dan penyelidikan ilmu antara Malaysia dan Uzbekistan adalah penting dalam membina persekitaran untuk perkembangan ilmu yang lebih mendalam dan berintegriti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Walaupun berpisah geografi, penyebaran ilmu mengeratkan hubungan antara Malaysia dan wilayah Asia Tengah.
  • Dunia Melayu menerima manfaat daripada sarjana dari pelbagai pelosok, termasuk nama-nama seperti Maa Waraa’ al-Nahr dan Samarkand.
  • Tamadun Islam bukan milik satu kaum; ia bersifat universal dan merentas budaya.
  • Ilmu dipelihara melalui pengembaraan, penyebaran, terjemahan, pengajaran dan penghormatan bersama.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah walaupun dua negara itu dipisahkan oleh geografi, namun keterhubungan melalui penyebaran ilmu telah lama wujud.

Seri Paduka Baginda bertitah dunia Melayu juga telah lama menerima manfaat daripada para sarjana yang datang dari seluruh pelosok dunia dan nama-nama yang dikaitkan dengan wilayah (Asia Tengah) seperti Maa Waraa’ al-Nahr dan Samarkand tidak asing lagi dalam ingatan intelektualnya.

“Ini mengingatkan kita bahawa tamadun Islam tidak pernah menjadi milik satu kaum sahaja.

“Ia telah dilestarikan merentasi pelbagai wilayah melalui pengembaraan, penyebaran, terjemahan, pengajaran dan penghormatan bersama terhadap ilmu pengetahuan,” titah Seri Paduka Baginda.

Raja Permaisuri Agong bertitah demikian dalam titah ucapan diraja pada pembukaan Persidangan Diraja “Tradisi Sains Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran” yang berlangsung di Pusat Ketamadunan Islam (CIC), di sini hari ini.