Polis Dungun siasat anggota disyaki minta wang untuk selesaikan kes dadah

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan

DUNGUN, 5 Mei – Seorang anggota polis berpangkat konstabel sokongan ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pemerasan berkaitan kes dadah di daerah ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota polis berpangkat konstabel sokongan ditahan disyaki terlibat pemerasan berkaitan kes dadah.
  • Suspek dipercayai memaklumkan anak pengadu positif dadah melalui mesej pada 4 April, sekitar 8.47 malam.
  • Suspek meminta wang sebanyak RM1,650 daripada pengadu untuk menyelesaikan kes tersebut.
  • Laporan polis dibuat 3 April 2026, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dungun sama hari dan direman empat hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, anggota berusia lingkungan 20-an itu ditahan kerana disyaki memeras ugut seorang pengadu dalam kes berkaitan ujian air kencing.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku pada 4 April lalu kira-kira pukul 8.47 malam apabila pengadu menerima mesej daripada suspek yang memaklumkan anaknya didapati positif dadah.

“Suspek kemudian meminta wang sebanyak RM1,650 daripada pengadu sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes tersebut,” katanya.

Tambah beliau, laporan polis telah dibuat pada 3 April 2026 kira-kira pukul 10.45 pagi, sebelum suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada hari yang sama.

Suspek yang bertugas di sebuah balai di Dungun itu kini direman selama empat hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.