Johor perkasa program mualaf, tumpu pendidikan dan penjanaan pendapatan

Inisiatif baharu bagi memperkasa komuniti mualaf

ISKANDAR PUTERI, 5 Mei – Sebanyak RM7.04 juta daripada peruntukan RM19.836 juta telah dibelanjakan bagi membantu golongan mualaf di Johor setakat April lalu, dengan prestasi perbelanjaan mencapai 35.5 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan negeri menyalurkan bantuan kebajikan, pendidikan, bimbingan agama dan keperluan asas kepada komuniti mualaf.
  • Kerajaan negeri melaksanakan inisiatif bantuan pendidikan untuk anak mualaf di peringkat rendah, menengah, diploma dan ijazah.
  • Kelas pengajian agama dan bimbingan jati diri diteruskan dengan penglibatan tenaga pengajar bagi memperkukuh kefahaman Islam.
  • Program peningkatan kemahiran jangka pendek bagi mualaf dan Orang Asli menjana pendapatan melalui kursus motosikal, penghawa dingin dan bakeri.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, peruntukan tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, bimbingan agama serta keperluan asas golongan mualaf.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif baharu bagi memperkasa komuniti mualaf, termasuk bantuan pengajian untuk anak mualaf di peringkat rendah, menengah, diploma dan ijazah.

Antara bantuan lain yang disediakan ialah bantuan perkahwinan, deposit dan sewaan rumah, bantuan ibu bapa mualaf serta program pemerkasaan sosial.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan program peningkatan kemahiran bagi membantu mualaf dan Orang Asli menjana pendapatan melalui kursus jangka pendek seperti penyelenggaraan motosikal, servis penghawa dingin serta perkhidmatan bakeri.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk KYPJ bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran untuk berdikari,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani dalam Sidang Dewan Negeri Johor di sini.

Tambah beliau, kelas pengajian agama dan bimbingan jati diri juga diteruskan secara berterusan dengan penglibatan kira-kira 136 tenaga pengajar bagi memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan mualaf.

Setakat ini, seramai 312 individu pelbagai bangsa termasuk Orang Asli telah memeluk Islam antara Januari hingga Mac tahun ini.