
KEMAMAN, 5 Mei – Penduduk Kampung Ibok dan Padang Kemunting di sini merayu pihak berkenaan agar menyegerakan pembinaan sebuah jambatan baharu susulan keadaan jambatan sedia ada yang semakin uzur dan berbahaya.
- Keadaan jambatan semakin kritikal dan struktur tidak stabil, menimbulkan kebimbangan keselamatan.
- Jambatan merupakan satu-satunya laluan utama ke tempat kerja serta untuk menghantar anak ke sekolah.
- Laluan alternatif sekitar tujuh hingga lapan kilometer, menyulitkan penduduk dari segi masa dan kos.
- Projek jambatan baharu kini fasa akhir, pembinaan dijangka bermula Jun dan laluan sementara akan disediakan.
Masalah yang berlarutan sejak lebih setahun lalu itu memaksa penduduk terus menggunakan jambatan berkenaan walaupun strukturnya telah rosak dan mendap.
Tinjauan mendapati keadaan jambatan kini semakin kritikal dengan struktur fizikal yang tidak stabil, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada pengguna yang berulang-alik setiap hari.
Walaupun menyedari risiko keselamatan, penduduk tiada pilihan lain kerana jambatan tersebut merupakan satu-satunya laluan utama untuk ke tempat kerja serta menghantar anak ke sekolah.
Menurut penduduk, laluan alternatif yang disediakan terlalu jauh, iaitu sekitar tujuh hingga lapan kilometer, sekali gus membebankan mereka dari segi masa dan kos perjalanan.
Seorang penduduk, Tengku Nobli Tengku Ghani berkata, mereka berharap pihak berwajib dapat memberi perhatian segera terhadap masalah itu demi keselamatan penduduk kampung.
Seorang lagi penduduk, Razali Awang, meluahkan kebimbangan terhadap keadaan struktur bawah jambatan yang semakin tidak kukuh, terutama apabila dilalui kenderaan berat seperti lori.
Selain itu, Fatmah Abdullah turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak yang menggunakan laluan tersebut setiap hari, termasuk penunggang motosikal dan basikal.
Mengulas perkara itu, Exco Kerajaan Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek pembinaan jambatan baharu kini berada di fasa akhir perbincangan termasuk proses pelantikan kontraktor.
Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada Jun ini, dan sebuah laluan sementara akan dibina bagi memastikan kemudahan penduduk tidak terjejas sepanjang tempoh pembinaan.
Penduduk berharap pelaksanaan projek itu dapat disegerakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.