
ALOR SETAR, 5 Mei – Pertubuhan Muafakat Komuniti AgroMadani Malaysia menyarankan pihak berkuasa berkaitan pengurusan sisa pepejal agar mengambil langkah segera memproses sisa makanan serta sisa hijau seperti daun kepada kompos dan baja organik.
- Usaha ini penting untuk meningkatkan kesedaran dan amalan pertanian lestari serta penggunaan baja organik berbanding baja kimia.
- Inisiatif menyeluruh boleh mengurangkan kos pengeluaran bagi petani dan pekebun kecil.
- Baja berasaskan biosolid perlu bebas elemen toksik dan patogen berbahaya sebelum digunakan pada tanaman makanan.
- Pemantauan ketat dan kawalan kualiti diperlukan kerana risiko logam berat serta bakteria, virus dan parasit dalam enapcemar.
Pengerusinya, Datuk Romli Ishak menerusi kenyataan berkata, usaha itu penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan pertanian lestari dan organik yang bukan sahaja selamat, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.
Menurut beliau, inisiatif tersebut wajar dilaksanakan secara menyeluruh kerana ia berpotensi mengurangkan kos pengeluaran dalam kalangan petani dan pekebun kecil.
Katanya, rakyat Malaysia dianggarkan membuang lebih lapan juta tan sisa makanan dan sisa hijau setiap tahun, yang sebenarnya boleh diproses menjadi baja organik yang bernilai.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) supaya memastikan baja organik berasaskan biosolid daripada proses rawatan kumbahan benar-benar bebas daripada elemen toksik dan patogen berbahaya.
“Walaupun menyokong inisiatif penghasilan baja organik daripada biosolid, terdapat kebimbangan terhadap potensi risiko kepada kesihatan pengguna sekiranya ia digunakan bagi tanaman makanan,” katanya.
Tambah beliau, baja berasaskan biosolid berkemungkinan lebih sesuai digunakan untuk tanaman bukan makanan seperti getah, landskap dan pokok hutan.
Jelasnya lagi, beberapa kajian antarabangsa menunjukkan kemungkinan kandungan logam berat seperti plumbum, kadmium, merkuri dan arsenik dalam sisa kumbahan boleh diserap oleh tisu tanaman makanan, sama ada pada akar atau daun.
Selain itu, enapcemar (sludge) daripada loji kumbahan yang tidak dirawat dengan sempurna berpotensi mengandungi bakteria berbahaya seperti Salmonella dan E. coli, selain virus dan parasit yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit jika memasuki rantaian makanan.
Sehubungan itu, pihaknya menegaskan keperluan kawalan kualiti yang ketat serta pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan penggunaan baja organik berasaskan biosolid dalam sektor pertanian negara.