PM gesa perintis, ‘otai’ Reformasi terus pertahan semangat perjuangan

Foto FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa barisan perintis dan ‘otai’ Reformasi supaya tidak membiarkan rasa terkilan atau tersinggung memadamkan semangat perjuangan yang dibina sejak awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terus mempertahankan semangat perjuangan meskipun usia meningkat demi masa depan generasi akan datang.
  • Jangan biarkan rasa terkilan atau tersinggung memadamkan semangat; gilap semula dan jangan mudah berputus asa.
  • Perjuangan menuntut keberanian, kesabaran dan daya juang yang tidak pernah padam; wariskan kepada anak dan keluarga.
  • Pengalaman jatuh, kalah dan menderita harus menjadi kekuatan untuk bangkit semula; lawan tetap lawan.

Beliau berkata, meskipun usia semakin meningkat dan langkah tidak lagi sepantas dahulu, semangat untuk membawa perubahan perlu terus dipertahankan demi generasi akan datang.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pertemuan semula bersama sahabat lama yang melalui pelbagai liku, derita dan pengorbanan perjuangan Reformasi mengundang rasa terharu dan sebak.

“Namun perjuangan ini masih belum selesai, maka gilap semula semangat yang sudah ada, usah pernah letih, usah mudah bebal dan jangan biarkan rasa terkilan atau tersinggung memadamkan semangat perjuangan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan membawa perubahan menuntut keberanian, kesabaran dan daya juang yang tidak pernah padam, selain menyeru supaya pesanan itu diwariskan kepada anak-anak, keluarga serta generasi seterusnya.

Datuk Seri Anwar berkata, pengalaman pernah jatuh, kalah dan menderita seharusnya menjadi kekuatan untuk bangkit semula.

“Lawan tetap lawan!” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.