
KUALA LUMPUR, 21 September- Trend masalah kesihatan mental dalam kalangan golongan muda di Malaysia dilihat meningkat setiap tahun, kata Pegawai Psikologi Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Malaya (UM), Farhana Nabila.
- Kesedaran tentang kesihatan mental meningkat, ramai mula mendapatkan bantuan, tetapi sebahagian masih memendam akibat stigma.
- Faktor pemangkin masalah mental berbeza mengikut individu termasuk kewangan, akademik, hubungan, keluarga dan persekitaran sosial.
- Perlu sokongan profesional melalui kaunseling, dan majikan harus faham serta bertindak untuk elak kesan buruk terhadap pekerja muda.
Beliau berkata berdasarkan kajian pada 2025, hampir 30 peratus remaja di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental khususnya kemurungan.
“Bagaimanapun, ada perkembangan positif apabila mereka mula sedar tentang kesihatan mental, semakin cakna dan mula mendapatkan bantuan.
“Pada masa sama, ada juga golongan yang memilih untuk memendam dan tidak mendapatkan sokongan daripada golongan profesional kerana persepsi atau stigma yang diterima daripada persekitaran mereka,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini.
Menurutnya, faktor yang mempengaruhi kesihatan mental golongan muda adalah pelbagai dan bergantung kepada keadaan individu, termasuk masalah kewangan, akademik, hubungan, keluarga dan persekitaran sosial.
“Kita tidak boleh menganggap isu akademik lebih besar daripada isu kewangan atau sebaliknya, kerana setiap individu merasai bebanan yang berbeza,” katanya.
Farhana berkata sebagai kaunselor berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), pihaknya menyediakan sokongan menerusi sesi kaunseling dan komunikasi bersama individu yang mendapatkan bantuan.
Dalam pada itu, beliau berkata majikan juga perlu memahami isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja khususnya golongan muda dan graduan baharu.
“Penting untuk majikan faham bahawa isu kesihatan mental ini sangat penting dan perlu ditekankan kerana jika tidak dikawal, ia boleh membawa padah kepada individu tersebut,” katanya.