Subsidi tambang pelajar IPT wajar diperluas seperti Pas My50

Ir. Ts. Dr. Ahmad Khushairy Makhtar / RTM

KUALA LUMPUR, 21 September- Kerajaan disaran mempertimbang subsidi tambang pengangkutan awam seumpama Pas My50 khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan subsidi tambang khusus pelajar diperluas kepada pelbagai mod pengangkutan untuk mengurangkan beban kewangan pelajar.
  • Akses pengangkutan awam mempengaruhi akses kepada pendidikan dan keupayaan pelajar memberi tumpuan kepada pengajian.
  • Kerajaan wajar menyalurkan peruntukan kepada universiti awam untuk memperluas dan menambah kekerapan perkhidmatan bas kampus.

Ketua Latihan dan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ir. Ts. Dr. Ahmad Khushairy Makhtar berkata berdasarkan kajian serta lokasi kediaman, seorang pelajar dianggarkan membelanjakan antara RM100 hingga RM400 sebulan untuk pengangkutan.

“Kerajaan mungkin boleh memperkenalkan konsep yang sama seperti Pas My50 dengan memberikan subsidi atau kadar khas kepada pelajar untuk mengurangkan tambang.

“Kalau boleh diperluaskan kepada pelbagai mod pengangkutan, itu akan lebih membantu dari segi kewangan kerana pelajar akan mendapat manfaat secara terus melalui pengurangan tambang,” katanya.

Beliau berkata isu pengangkutan awam perlu dilihat secara lebih luas kerana ia turut berkait dengan akses kepada pendidikan dan keupayaan pelajar memberikan tumpuan kepada pengajian.

Mengulas kemudahan di UiTM Kampus Shah Alam, Dr. Ahmad Khushairy berkata universiti menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi pergerakan pelajar antara kolej kediaman, namun kesesakan pada waktu puncak masih menjadi cabaran.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian pelajar memilih menggunakan pengangkutan sendiri kerana lebih selesa dan membantu pengurusan masa.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada universiti awam bagi memperluas perkhidmatan pengangkutan serta meningkatkan kekerapan bas kampus.

Menurutnya, isu pengangkutan juga boleh memberi kesan kepada perbelanjaan asas pelajar apabila sebahagian daripada mereka perlu memperuntukkan wang untuk tambang.

“Bila kita sebut mengenai perbelanjaan, mungkin ada pelajar yang terpaksa mengorbankan perbelanjaan untuk makan dan minum bagi memperuntukkan sejumlah wang untuk pengangkutan.

“Jadi, isu pengangkutan awam ini perlu dilihat secara lebih luas, bukan sekadar isu perjalanan tetapi juga berkaitan akses kepada pendidikan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.