
SANAA, 22 Septenber – Ketua badan pemerintahan Yaman, Rashad al-Alimi, meminta sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi menghadapi kumpulan Houthi yang disokong Iran dalam satu panggilan telefon pada Ahad, menurut sumber dari pejabat Alimi pada Isnin.
- Houthi kini menguasai kawasan pantai strategik menghadap Selat Bab al-Mandeb selepas merampasnya daripada pasukan kerajaan.
- Penguasaan itu mengukuhkan kedudukan Iran dan sekutunya terhadap dua laluan perairan strategik penting bagi negara Teluk.
- Putera Mahkota Arab Saudi meminta Trump melancarkan serangan terhadap Houthi, dan Houthi mengisytiharkan sekatan maritim serta menyerang kapal.
Bagaimanapun, Trump tidak memberikan jaminan sokongan ketenteraan kepada Yaman, kata sumber itu, sambil menambah bahawa panggilan berkenaan bertujuan menunjukkan solidariti terhadap kerajaan Yaman yang berdepan tekanan selepas Houthi menguasai seluruh pantai Laut Merah negara itu dalam serangan pantas.
Alimi mengetuai Majlis Kepimpinan Presiden Yemen yang disokong Arab Saudi, dengan pasukannya memerangi Houthi menerusi sokongan udara daripada Riyadh.
Permintaan itu dibuat susulan serangan Houthi ke atas Riyadh pada Sabtu.
Media AS melaporkan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman turut meminta Trump melancarkan serangan terhadap Houthi yang telah beberapa kali menyerang Arab Saudi sejak Julai.
Menurut The New York Times, putera mahkota itu menghubungi Trump pada Ahad untuk sekali lagi meminta bantuan bagi mengekang kemaraan kumpulan berkenaan.
Axios sebelum ini melaporkan Trump menolak permintaan serupa minggu lalu.
Sementara itu, Fox News melaporkan pada Ahad bahawa Trump berkata Houthi telah bersetuju untuk tidak menyerang sasaran AS.
Houthi kini menguasai kawasan pantai strategik yang menghadap Selat Bab al-Mandeb selepas merampasnya daripada pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi.
Penguasaan kawasan itu mengukuhkan kedudukan Iran dan sekutunya terhadap dua laluan perairan strategik yang menjadi laluan penting bagi negara-negara Teluk, termasuk Arab Saudi.
Pada Julai, gencatan senjata rapuh antara Houthi dan kerajaan Yaman yang bermula pada 2022 runtuh selepas kumpulan itu membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di Sanaa, bertentangan dengan kawalan Riyadh terhadap ruang udara Yaman.
Perkembangan itu mencetuskan beberapa siri serangan.
Houthi kemudian mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mula menyerang kapal serta wilayah negara berkenaan. – AFP